Ibu diberi ganti rugi RM17,573, anak maut terjerlus lantai bas

10 Aug 2026 • 2:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu diberi ganti rugi RM17,573, anak maut terjerlus lantai bas

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang kehilangan satu-satunya anak lelakinya selepas terjatuh melalui lantai bas reput sewaktu kenderaan itu masih bergerak menerima ganti rugi sebanyak RM17,573 selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan samannya.

Dalam penghakiman Hakim Mohd Rosli Yusoff pada 20 April lalu, mahkamah memutuskan bahawa pemandu bas, pemilik bas dan guru besar sekolah cuai sehingga menyebabkan kematian Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12.

Mahkamah turut memutuskan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kerajaan dipertanggungjawabkan secara vikarius terhadap kecuaian guru besar berkenaan manakala Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut diputuskan bertanggungjawab atas kejadian itu.

Dalam kejadian yang berlaku pada 4 Julai 2019, Wan Mohammed Adam bersama 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang, Kelantan, dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Besut, Terengganu.

Mereka dalam perjalanan untuk menyertai program English Booster Week UPSR 2019 di bawah Program Empower ECER Academic Training anjuran iNED, UiTM.

Kejadian berlaku apabila Wan Muhammed Adam terjatuh ke atas jalan raya melalui lantai bas yang reput sebelum tercampak ke jalan di Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas digilis bas sama.

Berdasarkan penghakiman penuh hakim itu yang dikeluarkan pada 9 Ogos lalu, Hakim Mohd Rosli mendapati, ibu kanak-kanak itu, Nik Hasmani Mohamed berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian (balance of probability) dan defendan secara kolektif bertanggungjawab 100 peratus, terhadap kematian mangsa.

Ujar hakim itu, kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, menjalankan kawalan sewajarnya terhadap murid sepanjang perjalanan.

“Kemalangan dalam kes ini boleh dielakkan sekiranya beliau bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak berkenaan daripada berjalan dan bergerak ke sana sini sepanjang perjalanan. Beliau juga boleh memberhentikan bas sekiranya ada kanak-kanak yang enggan mematuhi arahannya,” katanya.

Sementara itu, pemilik bas, Mohamad Che Su, melanggar tanggung jawab berjaga-jaga (duty of care) dengan membenarkan murid menaiki bas yang mempunyai lantai reput dan rosak.

“Mahkamah berpuas hati bahawa bahagian hadapan lantai bas tempat mangsa terjatuh sememangnya reput dan tidak kukuh.

“Sekiranya pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai bas dengan lantai baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berjalan atau melompat di dalam bas,” katanya.

Selain itu, mahkamah mendapati guru besar ketika itu, Ahmad Sanusi Ramlee, cuai kerana gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan murid.

Mahkamah mendapati tiada guru pengiring disediakan manakala pegawai pengiring yang dikatakan telah diatur oleh pihak penganjur juga tidak hadir.

“Guru besar bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah gagal memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan disediakan oleh pihak penganjur,” katanya.

Tambahnya, walaupun program itu tidak dianjurkan sepenuhnya oleh pihak sekolah namun ia diluluskan JPN dan membabitkan murid SK Tok Bok dan oleh itu, JPN dan kerajaan turut dipertanggungjawabkan secara vikarius (majikan menanggung liabiliti pekerja).

Hakim Mohd Rosli turut turut mendapati iNED dan UiTM bertanggungjawab selepas didapati gagal menyediakan pegawai pengiring atau fasilitator pada hari kejadian walaupun seorang kakitangan UiTM dan fasilitator pelajar telah ditugaskan untuk mengiringi murid serta memberikan taklimat keselamatan sepanjang perjalanan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Rosli meluahkan rasa simpatinya kepada keluarga mangsa atas tragedi yang berlaku namun katanya mahkamah tidak boleh membuat keputusan atau menentukan jumlah ganti rugi berdasarkan simpati, sebaliknya terikat kepada fakta, undang-undang dan keputusan mahkamah lebih tinggi terdahulu.

Plaintif sebelum itu menuntut masing-masing RM1 juta bagi ganti rugi teruk (aggravated damages) dan ganti rugi teladan (exemplary damages), namun kedua-dua tuntutan itu ditolak mahkamah. – UTUSAN

The post Ibu diberi ganti rugi RM17,573, anak maut terjerlus lantai bas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved