Emas Olimpik lebih penting

29 Mar 2023 • 4:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zii Jia berada dalam senarai atlet projek RTG bagi misi mencapai emas Olimpik pertama negara.- Foto: BAM

TEKA-teki mengenai spekulasi pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terjawab pada Rabu.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberitahu, ia bukan mengenai persoalan pemain itu kembali semula ke badan induk tersebut, namun berkaitan masa depannya dalam arena badminton.

Justeru beliau mengesahkan bahawa pemain berusia 25 tahun itu memang berada dalam senarai atlet projek Road To Gold (RTG) bagi misi mencapai emas Olimpik pertama negara.

“Sama ada dia balik kepada BAM atau tidak, dia pasti atlet RTG.

“Apa sahaja bantuan yang diperlukan daripada segi latihan dan kejurulatihan kita (RTG) akan beri sokongan sepenuhnya.

“Apa pun ia berpandu kepada kriteria dan syarat RTG,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sehubungan itu Mohamad Norza berkata, segala kepincangan melibatkan Zii Jia yang keluar dari BAM awal tahun lalu diketepikan dan mahu pemain itu fokus kepada Sukan Olimpik.

Beliau menegaskan, pihaknya enggan campur tangan masalah peribadi kerana negara ketika ini mempunyai misi lebih besar iaitu mengukir nama negara di Olimpik.

“Ketika ini, kita tak ada masa yang panjang, (Olimpik) Paris sudah semakin hampir. Saya mahu kurangkan isu dan spekulasi.

“Saya fikir kita hanya nak fokus kepada RTG kerana tak ada guna kalau semua pihak ada isu masing-masing. Isu ini tak boleh diselesaikan dalam sebulan atau setahun,” jelasnya.

Mohamad Norza yang juga pengerusi bersama RTG dengan Hannah menjelaskan bertemu dengan Zii Jia secara kebetulan di hotel ketika kejohanan Seluruh England di Birmingham, baru-baru ini.

Malah sekali lagi terserempak dengan pemain itu ketika bersahur di sebuah restoran mamak di Sri Hartamas, Petaling Jaya.

Sebelum ini tercetus khabar angin pemain dari Alor Setar, Kedah itu akan kembali ke BAM selepas Mohamad Norza memuat naik gambar beliau bersama Zii Jia dalam Instagram.