
SHAH ALAM, 21 NOV: Tindakan seorang lelaki Malaysia menyembunyikan empat kilogram emas bernilai kira-kira RM2.25 juta dalam kasut bagi menyeludup keluar barangan berharga itu dari Indonesia terbongkar selepas ditahan pihak kastam.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pada 12 November lalu di kawasan pelepasan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, dekat Padang, ketika mahu menaiki penerbangan menuju Malaysia.
Ketua Pejabat Cukai dan Kastam Teluk Bayur di Padang, Ade Zirwan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai seorang penumpang yang menunjukkan gerak-geri mencurigakan sebelum menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, pemeriksaan menemukan empat jongkong emas disembunyikan dalam kasut lelaki terbabit, masing-masing dua jongkong dalam setiap kasut.
Beliau berkata ujian menggunakan peralatan pengesanan khas mengesahkan emas berkenaan mempunyai ketulenan melebihi 99 peratus dengan berat keseluruhan kira-kira empat kilogram.
“Emas berkenaan tidak memenuhi peraturan kastam kerana cuba dibawa keluar dari Indonesia tanpa pengisytiharan.
“Perbuatan itu turut melanggar peraturan larangan dan sekatan terhadap barangan yang dibawa keluar negara,” katanya menerusi kenyataan media di laman sesawang Direktorat Jeneral Cukai dan Kastam, Kementerian Kewangan Indonesia, lapor Berita Harian.
Ade berkata emas dianggarkan bernilai 10 bilion rupiah (kira-kira RM2.25 juta), manakala lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 102A Undang-Undang Nombor 17 Tahun 2006 mengenai Kastam yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Peruntukan sama turut menetapkan denda antara 50 juta rupiah (kira-kira RM11,250) hingga lima bilion rupiah (kira-kira RM1.13 juta).
“Suspek kini ditahan selama 20 hari di pusat tahanan Polis Daerah Sumatera Barat, manakala semua barang bukti dirampas untuk tindakan undang-undang lanjut. Kami turut bekerjasama dengan Polis Daerah Sumatera Barat dan Polis Padang Pariaman bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

![[VIDEO] Sembunyi emas RM14 juta dalam kasut, baju dalam tidak sempat ke Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-21-at-23.28.50-1024x683.jpeg)




