
JAKARTA - Cubaan seorang lelaki Malaysia membawa keluar empat jongkong emas bernilai kira-kira RM2.25 juta dari Indonesia tanpa melalui pengisytiharan kastam terbongkar selepas barangan berharga itu ditemukan tersembunyi di dalam kasutnya.
Lelaki berusia 34 tahun berkenaan ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 12 November lalu ketika berada di kawasan pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Sumatera Barat, sebelum menaiki penerbangan ke Malaysia.
Ketua Pejabat Kastam dan Eksais Teluk Bayur, Ade Zirwan berkata, penahanan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai seorang penumpang yang menimbulkan kecurigaan.
Hasil pemantauan dan pemeriksaan lanjut, pegawai kastam menemukan empat jongkong emas yang disembunyikan di dalam kasut suspek, dengan setiap kasut memiliki dua jongkong.
Pemeriksaan menggunakan peralatan pengesanan khas mendapati emas berkenaan mempunyai tahap ketulenan melebihi 99 peratus dan berat keseluruhan kira-kira empat kilogram.
Menurut Ade, tindakan membawa keluar emas tanpa membuat pengisytiharan kepada pihak kastam merupakan satu kesalahan di bawah peraturan yang berkuat kuasa di Indonesia.
Beliau berkata, perbuatan tersebut turut melanggar ketetapan berkaitan barangan yang tertakluk kepada larangan dan sekatan untuk dibawa keluar dari negara berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan mencecah 10 bilion rupiah, bersamaan kira-kira RM2.25 juta.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 102A Undang-Undang Indonesia Nombor 17 Tahun 2006 berkaitan Kastam.
Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta denda antara 50 juta hingga lima bilion rupiah, bersamaan kira-kira RM11,250 hingga RM1.13 juta.
Ade berkata, suspek kini ditahan reman selama 20 hari di pusat tahanan Polis Daerah Sumatera Barat bagi membantu siasatan, manakala kesemua jongkong emas berkenaan telah dirampas untuk dijadikan bahan bukti.
Siasatan turut dijalankan dengan kerjasama Polis Daerah Sumatera Barat dan Polis Padang Pariaman bagi melengkapkan kes berkenaan. - Getaran, 21 November 2026

![[VIDEO] Sembunyi emas RM14 juta dalam kasut, baju dalam tidak sempat ke Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-21-at-23.28.50-1024x683.jpeg)




