
KOTA BHARU – Empat agensi melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mengendalikan penerbangan ihsan untuk merawat pesakit di pedalaman.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bantuan penerbangan itu dijalankan selepas KKM memutuskan semua operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak berkaitan.
Katanya, alternatif itu bagi memastikan keperluan kesihatan penduduk di kawasan pedalaman terus diberi perhatian walaupun FDS digantung buat sementara waktu susulan nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak yang meragut lima nyawa, termasuk empat petugas agensi berkenaan pada Selasa lalu.
“Alternatif yang digerakkan itu antaranya mendapatkan bantuan JBPM menerusi perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan melalui udara (EMARS).
“Semua itu telah saya sebutkan dalam kenyataan sebelum ini bahawa langkah-langkah dan pilihan atau alternatif lain kita telah gerakkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi jenazah Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, di Masjid Al Karomah Baung, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Dzulkefly memberitahu, pihaknya tidak boleh membiarkan perkhidmatan berkenaan terhenti terlalu lama, namun aspek keselamatan penerbangan perlu diteliti dengan lebih rapi susulan tragedi tersebut.
Katanya, KKM sedang menanti hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan perkhidmatan FDS disambung semula.
“Tujuh pasukan FDS KKM memberi perkhidmatan kepada kira-kira 14,000 hingga 15,000 penduduk kawasan pedalaman yang sukar dicapai melalui laluan biasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Empat agensi bantu KKM kendali penerbangan ihsan rawat pesakit pedalaman appeared first on Kosmo Online.





