Klinik haram warga asing berselindung di sebalik kedai kain

13 Sep 2026 • 4:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Klinik haram warga asing berselindung di sebalik kedai kain

KUALA LUMPUR – Taktik licik menyembunyikan kegiatan rawatan dan penjualan ubat tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) di sebalik premis menjual kain serta syarikat pelancongan terbongkar dalam serbuan di sekitar Lebuh Pudu di sini, hari ini.

Sekurang-kurangnya empat premis yang menjual dan menyimpan ubatan haram disyaki dikendalikan warga asing dikesan menerusi Op Bersepadu Mega yang digerakkan Jabatan Imigresen (JIM) dengan kerjasama KKM, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam operasi bermula pukul 11 pagi itu, JIM menahan 472 warga asing yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, dua daripada empat premis terbabit didapati beroperasi seperti klinik apabila turut dilengkapi mesin saringan untuk pemeriksaan tekanan darah tinggi, gula dan darah.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shafilliza Samsuri berkata, pelbagai ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM ditemukan dan dirampas dalam serbuan tersebut.

“Premis ini menyasarkan pelanggan warga asing.

“Modus operandi yang dikesan ialah premis disyaki dioperasikan oleh doktor warga asing. Namun, semasa serbuan tiada individu berada di dalam premis,” katanya, di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pesakit akan dibawa ke bilik belakang premis untuk menjalani pemeriksaan tekanan darah dan gula sebelum diberikan ubat.

Katanya, antara ubatan yang dirampas ialah antibiotik, ubat darah tinggi dan ubat jangkitan kulat, selain ubat suntikan kebas serta set jarum.

“Kebanyakan ubat ini disyaki dibawa masuk dari Bangladesh. Kita akan siasat siapa penyewa dan kenal pasti individu yang berperanan sebagai doktor itu,” ujarnya.

Dalam operasi sama, SSM mengeluarkan 25 kompaun atas pelbagai kesalahan berjumlah RM66,500 hasil pemeriksaan terhadap 125 premis.

Antara kesalahan dikesan termasuk gagal mempamerkan nama dan nombor pendaftaran pada papan tanda, resit rasmi, bil dan invois, selain gagal mempamerkan sijil perakuan pendaftaran perniagaan di premis.

Turut dikesan kegagalan mengemukakan butir perubahan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.

SSM turut akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 5C Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 serta Seksyen 549 Akta Syarikat 2016 berkaitan salah guna pendaftaran perniagaan dengan membenarkan warga asing menjalankan perniagaan.

Bagi KPDN Kuala Lumpur pula, sebanyak 10 kompaun berjumlah RM8,500 dikeluarkan membabitkan kesalahan berkaitan harga dan alat timbang.

Selain itu, sebanyak 119 kilogram minyak masak peket turut dirampas untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Klinik haram warga asing berselindung di sebalik kedai kain appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved