KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan reman empat anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000.
Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam keretanya.
Perintah reman selama lima hari sehingga 11 April ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Hakim Rais Imran Hamid selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada pagi Selasa.
Menurut sumber, keempat-empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang terdiri dari seorang anggota berpangkat sarjan, seorang koperal dan dua konstabel itu ditahan antara jam 9 pagi hingga 1 petang pada Isnin di pejabat masing-masing.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Disember 2025.
"Mereka dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi milik pihak ketiga," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
