Minta, terima rasuah bekal peralatan ICT: Penjawat awam wanita direman

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 2:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang penjawat awam direman empat hari untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembekal peralatan ICT. Foto SPRM

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM7,000 daripada sebuah syarikat pembekal peralatan teknologi maklumat (ICT).

Ia sebagai balasan mengesahkan pembekalan alat ganti dan perkakasan ICT kepada Cawangan Teknologi Maklumat ditempat suspek bekerja.

Suspek wanita berusia lingkungan 40-an direman empat hari sehingga 10 April 2026 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini pada Selasa.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang, Isnin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2024.

“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.