
LAHAD DATU: Rezeki dan peluang menunaikan haji bersama-sama menjadi detik penuh makna bagi empat beradik berketurunan campur yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun ini.
Lebih istimewa empat bersaudara perempuan berketurunan British-Cina dan Scotland-Jawa terbabit akan ditemani kakak sepupu dan suaminya yang menjadi sosok ganti selepas adik-beradik berkenaan kehilangan ibu bapa.
Jamiah James Bell, 56, berpeluang untuk menunaikan haji pada tahun ini bersama adik-adiknya iaitu Jamsiah, 55, Jamimah, 53, dan Jamsidah, 47. Adik-beradik berkenaan juga akan bersama kakak sepupu mereka Juraya Ishak, 61, yang juga merupakan seorang mualaf.
Sudarmuji Darmidi, 62, mewakili isterinya Juraya dan adik-adik sepupunya berkata hubungan adik-beradik ini memang sangat rapat dan harmoni sejak kecil yang menjadi asas kekuatan mereka hingga ke hari ini.
Beliau berkata rezeki menunaikan haji bersama-sama merupakan anugerah terindah yang sangat istimewa dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
Menurut beliau mereka sekeluarga mendaftar lebih awal namun menunggu giliran seperti jemaah yang lain selain berusaha melalui pelbagai saluran bagi merealisasikan hasrat menunaikan ibadah berkenaan.
“Perancangan untuk menunaikan ibadah haji ini dibuat sejak 10 tahun lalu bersama kedua ibu bapa mereka namun panggilan belum tiba meskipun kita sudah membuat rayuan.
“Namun kuasa Allah SWT bukan sahaja kami dapat panggilan ke haji pada tahun ini, Allah hadirkan rezeki yang lebih besar iaitu menunaikan ibadah ini bersama adik-beradik yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan haji.
Menurut Sudarmuji sebaik menerima panggilan kesemua mereka terkedu seolah-olah tidak percaya kerana ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan selepas sekian lama menanti.
“Alhamdulillah kami sangat terharu dan gembira kerana mendapat rezeki untuk menunaikan ibadah haji dalam keadaan yang sangat istimewa iaitu bersama dengan adik-beradik kami.
“Allah SWT mendengar doa kami, doa ibu bapa serta seluruh keluarga kami yang tidak berhenti berdoa serta berusaha agar kami dapat menunaikan ibadah ini,” jelas beliau.
Bercakap mengenai persediaan untuk menunaikan ibadah haji, Sudarmuji menjelaskan bahawa persediaan untuk berangkat ke Tanah Suci kini hampir lengkap dengan tumpuan diberikan kepada aspek fizikal, mental dan ilmu ibadah.
Beliau berkata jemaah haji tahun ini dijangka akan menghadapi cabaran termasuk perubahan cuaca dan suhu tinggi namun mereka melihat cabaran tersebut sebagai peluang untuk memperkukuh iman.
Selain cabaran dari sudut suhu dan cuaca, terdapat cabaran lain seperti krisis Amerika Syarikat dan Iran sekali gus keadaan ini tidak menjejaskan sedikit pun semangat keluarga ini untuk terus menunaikan ibadah.
“Rezeki menunaikan ibadah haji bersama adik-beradik ini memberi ruang untuk kami saling menyokong dan membantu satu sama lain ketika beribadah serta mendepani sebarang cabaran,” tambahnya.


