KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditemukan mati bersama isteri dan dua anaknya di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Kepong, di sini pada Khamis, dipercayai meninggalkan nota di atas meja makan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, nota tersebut mendedahkan suspek berdepan hutang mencecah RM260,000 akibat hubungan isterinya dengan individu dipercayai ‘love scam’.
Beliau berkata, nota berkenaan turut menyatakan rasa kesal suspek terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan scammer terbabit.
"Suspek dipercayai menanggung kerugian dan hutang akibat hubungan tersebut selain berasa kecewa apabila isterinya masih cuba menghubungi scammer terbabit.
“Suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau dan berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat beranak ditemukan mati di kondominium
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat anak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“Bedah siasat bermula jam 9 pagi dan satu liang tikaman pada bahagian leher berukuran lima sentimeter ditemui pada mayat mangsa.
Fadil berkata, bedah siasat terhadap mayat suspek dijangka dilakukan esok.
“Pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan mengadakan lawatan ke tempat kejadian pada pagi esok sebelum bedah siasat terhadap mayat suspek dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menemui sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
"Kedua-dua barangan terbabit ditemukan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama. Kes berkenaan masih dalam siasatan polis," katanya.
Pada Khamis, polis menerima laporan pada jam 3.32 petang berhubung seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.
Menurutnya, polis kemudian ke rumah mangsa dan berjaya membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan pihak bomba.
Seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan isteri lelaki berkenaan serta dua kanak-kanak, masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun, turut ditemukan di dalam kediaman tersebut.
Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Fadil sebelum ini dilaporkan berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta mati mengejut (SDR).





