![Image from: [VIDEO] Raikan perkahwinan, warga Yemen buat aksi bahaya atas kereta](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-29-at-07.04.15-1024x682.jpeg)
PETALING JAYA – Hanya kerana mahu berseronok meraikan perkahwinan seorang rakan, tujuh lelaki warga Yemen sanggup melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan badan dan duduk di atas tingkap pintu kenderaan yang sedang bergerak.
Aksi kumpulan lelaki berusia antara 23 hingga 26 tahun itu dirakam sebelum videonya tular menerusi laman Threads sehingga mendapat perhatian pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam di Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden itu melibatkan dua buah kenderaan dengan penumpang kedua-duanya bertindak mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu ketika kenderaan sedang bergerak.
“Individu yang terlibat terdiri daripada tujuh lelaki warga Yemen berusia antara 23 hingga 26 tahun.
“Lima daripada mereka merupakan pelajar sebuah universiti awam di Kedah, manakala dua lagi adalah lepasan universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati tindakan berbahaya itu dilakukan semata-mata untuk berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai atau gopoh yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Raikan perkahwinan, warga Yemen buat aksi bahaya atas kereta appeared first on Kosmo Digital.






