johardy04/05/2026 - 09:29 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Mei - Padini Holdings Berhad memaklumkan, empat akaun bank milik beberapa subsidiarinya telah dilepaskan daripada tindakan pembekuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebanyak 21 akaun bank Padini dan syarikat subsidiarinya telah dikenakan tindakan pembekuan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Padini berkata pihaknya dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini bahawa sebahagian dana dalam akaun bank yang terlibat telah dilepaskan.
Antara akaun yang terlibat ialah milik Padini Corporation Sdn Bhd, Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd, Padini Dot Com Sdn Bhd serta Vincci Ladies’ Specialties Centre Sdn Bhd, dengan setiap satu melibatkan satu akaun bank.
Menurut Padini, Lembaga Pengarah akan terus membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan perkara berkenaan.
Seksyen 44(1) AMLA
Terdahulu, pada 24 dan 27 April 2026, Padini memaklumkan bahawa beberapa akaun bank kumpulan itu telah dibekukan oleh SPRM di bawah peruntukan Seksyen 44(1) AMLA, yang membolehkan pihak berkuasa menyekat akses kepada dana tertentu bagi tujuan siasatan.
Tindakan pembekuan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan, namun pada masa itu tiada butiran lanjut didedahkan kepada umum berkaitan skop atau punca siasatan.
Seksyen 44(1) AMLA memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk membekukan akaun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat, sementara siasatan dijalankan.
Perkembangan terbaharu ini dilihat sebagai sebahagian daripada proses siasatan yang masih berjalan, namun pelepasan sebahagian akaun memberi sedikit kelegaan kepada kumpulan dari segi operasi aliran tunai anak syarikat yang terlibat.
Setakat ini, Padini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan mengenai impak kewangan secara terperinci, dan pelabur dijangka terus memberi tumpuan kepada perkembangan lanjut siasatan serta sebarang pengumuman susulan daripada syarikat. - DagangNews.com





