Juruaudit beri amaran ketidakpastian kemampuan Cropmate untuk terus beroperasi selepas akaun dibekukan SPRM

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2026 • 6:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Juruaudit beri amaran ketidakpastian kemampuan Cropmate untuk terus beroperasi selepas akaun dibekukan SPRM Image from: Juruaudit beri amaran ketidakpastian kemampuan Cropmate untuk terus beroperasi selepas akaun dibekukan SPRM liza30/04/2026 - 18:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 April – Cropmate Bhd memaklumkan juruaudit luarnya telah mengeluarkan pendapat audit tidak berubah bagi penyata kewangan tahun berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), namun memberi penekanan terhadap ketidakpastian berkaitan keupayaan kumpulan untuk terus beroperasi sebagai entiti berterusan.

 

Juruaudit, Messrs Kreston John & Gan, menyatakan wujud ketidakpastian ketara yang boleh menjejaskan keupayaan Cropmate untuk meneruskan operasi berikutan sekatan ke atas beberapa akaun bank syarikat yang telah dibekukan oleh pihak berkuasa.


Laporan juruaudit menjelaskan tempoh sekatan terhadap akaun terlibat serta kesan kewangan daripada pembekuan tersebut masih tidak dapat dipastikan dan menimbulkan risiko material terhadap kelangsungan operasi kumpulan.

 

Sekatan itu dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), berkaitan siasatan pengubahan wang haram yang sedang dijalankan.

 

Sebelum ini, Cropmate yang mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada Disember 2024 telah mendedahkan beberapa akaun bank miliknya serta anak syarikat turut terlibat dalam pembekuan tersebut sejak siasatan dimulakan.

 

Setakat ini, kira-kira RM12.21 juta dana dalam akaun yang terjejas telah dibekukan, namun syarikat memaklumkan bahawa ia masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif bagi memastikan operasi harian dapat diteruskan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RM12.21 juta wang dibeku SPRM, Cropmate lantik peguam Hisyam Teh kemuka representasi

 

Selain isu pembekuan akaun, juruaudit turut menekankan beberapa perkara audit utama termasuk isu pemotongan hasil (revenue cut-off) dan penghutang perdagangan, di mana syarikat merekodkan RM22 juta penghutang perdagangan setakat 31 Disember 2025, bersamaan 16% daripada jumlah aset, yang berisiko berlakunya salah nyata akibat transaksi volum tinggi menjelang penutupan tempoh kewangan.

 

Juruaudit turut memberi perhatian terhadap risiko pelaporan kewangan tersebut kerana ia boleh memberi kesan kepada ketepatan penyata kewangan sekiranya kawalan dalaman tidak dipatuhi dengan ketat.

 

Susulan perkembangan itu, Cropmate memaklumkan pihaknya telah melantik penasihat undang-undang serta menghantar surat representasi kepada SPRM bagi mendapatkan pelepasan akaun yang dibekukan, selain terus berhubung dengan pihak berkuasa berhubung status siasatan.

 

Lembaga pengarah syarikat berkata berdasarkan maklumat semasa dan perbincangan dengan penasihat undang-undang, mereka menjangkakan isu tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah dan menegaskan syarikat akan terus memantau perkembangan dengan teliti.

 

Pada masa yang sama, Cropmate menegaskan operasi kumpulan masih berjalan seperti biasa dengan sokongan kemudahan perbankan lain, walaupun berdepan tekanan daripada siasatan yang sedang berlangsung.

 

Pada penutupan dagangan 30 April 2026, harga saham Cropmate kekal tidak berubah pada 19 sen, dengan permodalan pasaran sekitar RM140.22 juta, ketika pelabur terus menilai impak siasatan SPRM dan risiko terhadap prospek syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard