
KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Anggota penguat kuasa antara empat individu direman selama lima hari kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi pembekalan makanan haiwan berjumlah RM1.8 juta.
Perintah reman hingga 19 Sept itu dikeluarkan Majistret Aina Azahra Ariffin terhadap kesemua mereka selepas membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an dan 60-an itu ditahan sekitar 9 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Selain anggota penguat kuasa terbabit, tiga individu lain yang ditahan ialah pesara sebuah agensi penguat kuasa serta pengarah dan pengurus pentadbiran sebuah syarikat swasta.
Sumber itu berkata siasatan awal mendapati keempat-empat suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2021 dan 2023.
"Kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu dalam tuntutan bagi pembekalan makanan haiwan berjumlah kira-kira RM1.8 juta sedangkan jumlah pembekalan sebenar adalah lebih rendah," katanya.
Baca juga:Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA







