
PETALING JAYA: Hala tuju ringgit bagi baki tahun ini dijangka ditentukan oleh empat faktor utama iaitu dasar kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, harga minyak, perkembangan geopolitik serta aliran modal, dengan mata wang negara berpotensi menguji paras RM4 berbanding dolar AS sekiranya sentimen global terus bertambah baik.
Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, ringgit dijangka bergerak dalam julat RM3.95 hingga RM4.15 berbanding dolar AS bagi baki tahun ini, dengan paras RM4 dan ke bawah berpotensi dicapai sekiranya keadaan pasaran kewangan global semakin stabil.
Menurut beliau, prestasi ringgit akan bergantung kepada interaksi antara harga minyak, geopolitik, hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) dan Bank Negara Malaysia (BNM), selain aliran modal masuk dan keluar.
“Harga minyak menjadi faktor yang agak kompleks bagi Malaysia. Malaysia ialah pengeksport bersih tenaga, jadi harga minyak yang tinggi boleh meningkatkan hasil eksport dan pendapatan berkaitan petroleum. Ini memberi sokongan kepada ringgit.
“Namun, apabila minyak melonjak akibat konflik geopolitik, ia meningkatkan inflasi global, kos pengangkutan dan risiko pertumbuhan. Pelabur biasanya menjadi lebih berhati-hati dan beralih kepada aset selamat seperti dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.0760/4.0800, berbanding 4.0740/4.0780 pada sesi dagangan akhir Selasa.
Beliau berkata, perkembangan geopolitik turut menjadi faktor penting kerana penyelesaian atau pengurangan ketegangan di Asia Barat berpotensi mengurangkan premium risiko terhadap rantau Asia, sekali gus memberi sokongan kepada ringgit.
Sebaliknya, katanya, gangguan berpanjangan terhadap pengeluaran minyak atau laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz boleh mencetuskan tekanan terhadap mata wang serantau.
“Jika berlaku gangguan berpanjangan terhadap pengeluaran minyak atau Selat Hormuz, kita boleh melihat kombinasi minyak tinggi, dolar AS kukuh dan aliran modal keluar, yang biasanya memberi tekanan kepada mata wang serantau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pergerakan ringgit ketika ini turut dipengaruhi perubahan jangkaan terhadap kadar faedah di ekonomi utama dunia termasuk AS, Eropah dan Jepun.
Beliau berkata, perkembangan dasar monetari Jepun sebelum ini mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan perubahan dalam aktiviti ‘yen carry trade’, yang berpotensi meningkatkan turun naik pasaran kewangan global.
Menurutnya, pelabur institusi lazimnya meminjam dalam mata wang yen yang menawarkan kadar faedah rendah sebelum melabur dalam aset negara yang memberikan pulangan lebih tinggi.
“Jika perkara ini berlaku, ia boleh menyebabkan aktiviti jualan dalam pasaran kewangan global kerana tanggapan kadar faedah yang lebih tinggi di Jepun akan menyebabkan kemeruapan yang tinggi dalam pasaran global,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kemungkinan BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras yang lebih normal juga berpotensi memberikan sokongan kepada nilai ringgit.
“Dengan kata lain, kemungkinan OPR untuk dinaikkan juga akan membantu dalam meningkatkan nilai ringgit.
“Namun harus diingatkan bahawa dasar monetari BNM tidak meletakkan kadar tukaran asing sebagai faktor utama dalam mengurus dasar monetari negara. Ia berpaksikan kepada prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi,” katanya. – UTUSAN
The post Empat faktor tentukan hala tuju ringgit hingga hujung tahun appeared first on Utusan Malaysia.






