Empat hilang, seorang terselamat bot karam di Kapit

7 Mar 2024 • 10:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Empat penumpang hilang apabila bot fiber yang mereka naiki karam di Sungai Batang Baleh pada petang Khamis. Foto ihsan bomba

image is not available
Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat. Foto ihsan bomba

SIBU - Empat penumpang hilang sementara seorang lagi terselamat apabila bot fiber yang mereka naiki, karam di Sungai Batang Baleh berhampiran Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh di bahagian Kapit petang tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47, manakala empat mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Iskandar Ibrahim, Jonathan Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp malam ini, beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses mendapatkan butiran lanjut tentang mangsa yang hilang.

Andy berkata, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 5.25 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, telah tiba di lokasi yang terletak sejauh 13 kilometer itu pada jam 5.45 petang.

"Menurut saksi yang melihatkan kejadian tersebut, ia berlaku sekitar jam 5 petang di mana seramai lima penumpang menaiki bot fiber (dilengkapi enjin sangkut) 30 kuasa kuda, semasa kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba telah membuat penilaian awal kawasan lokasi, serta mendapatkan maklumat daripada mangsa yang terselamat dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat.

"Oleh kerana arus kuat dan keadaan beransur gelap, operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan akan disambung pada esok hari,” tambahnya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28