
Empat Mangsa Nahas Bentong Layak Terima Faedah Skim LINDUNG 24 Jam & Skim Keilatan
Empat daripada enam mangsa yang maut dalam nahas di Jalan Karak Lama, Bentong pada Sabtu lalu merupakan pencarum aktif PERKESO dan layak menerima faedah mengikut kelayakan masing-masing di bawah Skim LINDUNG 24 Jam dan Skim Keilatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan bahawa waris setiap mangsa turut menerima Faedah Pengurusan Mayat bagi membantu menguruskan urusan pengebumian.
Manakala pasangan, anak-anak serta ibu bapa yang layak akan menerima pencen bulanan bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan insan tersayang.
PERKESO Santuni Anak-Anak Yatim, Ibu Tunggal Dan Penerima Faedah PERKESO Dan Pelancaran Insentif Kerjaya Madani 2023
LINDUNG 24 Jam Bukan Sekadar Potongan Gaji, ‘Talian Hayat’ Pekerja Dan Waris Jika Ditimpa Musibah - PERKESO
"Bagi menampung kelangsungan kehidupan, dengan andaian penyaluran faedah jangka panjang sehingga 30 tahun kepada kesemua waris empat mangsa, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan adalah melebihi RM1.2 juta.
"Demikianlah fungsi keselamatan sosial bagi memastikan waris yang ditinggalkan berupaya meneruskan hidup, walau tanpa insan tersayang yang merupakan ‘tulang belakang’ keluarga.
"Salam takziah saya zahirkan kepada seluruh keluarga mangsa tragedi. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat besar ini," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Terdahulu, enam lelaki dilaporkan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, dekat Klinik Desa Jambu Rias, Bentong pada awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata semua mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).






