Empat maut ketika padam kebakaran hutan di Indonesia

WorldEnvironment
16 Oct 2026 • 8:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat maut ketika padam kebakaran hutan di Indonesia

JAKARTA: Sekurang-kurangnya empat lelaki maut ketika memadam kebakaran hutan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Jawa Timur, Indonesia, menurut Kementerian Perhutanan.

Tiga daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital.

Jurucakap taman negara berkenaan, Endrip Wahyutama, berkata dua mangsa merupakan petugas taman negara, manakala dua lagi pengawal keselamatan yang membantu operasi berkenaan.

Dua individu lain, masing-masing anggota bomba sukarela dan pengawal keselamatan sebuah hotel berhampiran yang turut membantu memadam kebakaran, mengalami kecederaan serius akibat melecur dan sedang menerima rawatan.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyampaikan ucapan takziah dan menghargai keberanian serta dedikasi pegawai, sukarelawan dan penduduk yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di lokasi.

Kementerian itu berkata, kejadian berkenaan menjadi peringatan bahawa usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah merupakan operasi berisiko tinggi.

Menurutnya, keselamatan mesti menjadi keutamaan, termasuk memantau arah penyebaran api dan angin, memastikan laluan pemindahan tersedia serta menilai keadaan sebelum dan sepanjang operasi dijalankan.

Pulau Sumatera dan Borneo yang terletak berhampiran Singapura dan Malaysia merupakan kawasan paling terjejas.

Kementerian berkata, pemantauan satelit mengesan 799 titik panas berkeyakinan tinggi di seluruh Indonesia setakat malam Khamis, meningkat sebanyak 427 berbanding hari sebelumnya.

Semalam, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluluskan tawaran bantuan daripada negara-negara jiran untuk menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata, Prabowo sudah memberikan kelulusan, manakala Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) sedang mengadakan perbincangan teknikal bagi menentukan pengaturan dan pelaksanaan bantuan tersebut.

Sementara itu, Ketua BNPB yang baharu dilantik, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi, berkata beliau akan menilai sumber yang tersedia di peringkat pemerintah daerah dan pusat, serta meneliti bagaimana bantuan asing dapat disegerakan untuk memperkukuh operasi memadamkan kebakaran.

Kristomei yang menggantikan Leftenan Jeneral Suharyanto menegaskan, usaha menangani kebakaran memerlukan kerjasama masyarakat serta pemerintah daerah dan pusat, bukan hanya bergantung kepada agensi pengurusan bencana itu.-AGENSI

The post Empat maut ketika padam kebakaran hutan di Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved