
Kota Kinabalu: Empat warga asing termasuk seorang wanita dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis selepas mengaku bersalah memasuki Sabah secara haram.
Tiga tertuduh warga Filipina dan seorang warga China membuat pengakuan bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Hurman Hussain atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas setiap warga Filipina manakala warga China didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen di beberapa lokasi berasingan di sekitar bandar raya baru-baru ini.
Semasa operasi itu mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau sebarang dokumen pengenalan diri kepada pegawai yang menjalankan pemeriksaan.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam rayuan mereka semua tertuduh memohon hukuman diringankan dan meminta supaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Mahkamah memerintahkan tiga warga Filipina itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan manakala kesemua tertuduh termasuk warga China diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Baxter Junior Goh dan Norizan Awang Tanda.






