Empat rakyat Malaysia cerap gerhana matahari di Sepanyol

13 Aug 2026 • 4:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat rakyat Malaysia cerap gerhana matahari di Sepanyol

SEREMBAN: Minat terhadap ilmu falak mendorong empat rakyat Malaysia menyertai misi mencerap gerhana matahari penuh di Zaragoza, Sepanyol, semalam.

Wakil mereka, Agku Bolkhizan A Ahmad Thani, 41, berkata, misi itu merupakan pengalaman keempat buatnya mencerap gerhana matahari manakala tiga ahli lain berpeluang menyaksikan fenomena berkenaan secara langsung buat kali pertama.

Tiga ahli lain ialah Khairul Anuar Samsudin, 37; Nor Hafiz Abu Kassim, 43, dan Norfiza Fazila Faisal, 50.

Menurutnya, kesemua mereka yang berasal dari Negeri Sembilan melakukan tinjauan lokasi sehari sebelum cerapan pada 11 Ogos bagi menilai keadaan cuaca dan kesesuaian lokasi sebelum memilih Mirador El Planeron, Zaragoza sebagai lokasi cerapan.

“Alhamdulillah aktiviti kami sempurna dan kami telah mendapat beberapa data yang kami perlukan iaitu data untuk prominens, data untuk korona dan juga data bagi bailey beads iaitu untuk dari sudut permukaan gerhana matahari itu sendiri.

“Selain itu, kami turut merekod pergerakan bayang-bayang bulan yang menutupi permukaan bumi menggunakan kamera bagi mendapatkan gambaran keseluruhan fenomena itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Agku Bolkhizan berkata, pasukannya menggunakan tiga teleskop pintar (smart telescope) keluaran ZWO iaitu Seestar S30 Pro, S30 dan S50 untuk membuat cerapan.

Katanya, mereka turut merekod perubahan suhu sepanjang fenomena berkenaan dengan suhu maksimum sebelum gerhana mencecah 45 darjah Celsius, sebelum menurun kira-kira 35 darjah Celsius ketika gerhana penuh berlaku.

“Cabaran utama adalah faktor lokasi kerana keadaan pergerakan matahari di Sepanyol ketika musim panas berbeza berbanding Malaysia.

“Tempoh siang yang lebih panjang menyebabkan pergerakan matahari kelihatan lebih condong, berbanding di negara kita yang kelihatan lebih lurus dari terbit hingga terbenam,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, perbezaan bahasa turut menjadi cabaran apabila tiada seorang pun daripada mereka fasih berbahasa Sepanyol, manakala komunikasi dalam bahasa Inggeris dengan penduduk tempatan juga tidak sentiasa mudah.

“Bagaimanapun, kemudahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) membantu kami mengatasi masalah komunikasi sepanjang berada di sini,” katanya.

Agku Bolkhizan berkata, misi berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh mereka sendiri dengan kos kira-kira RM7,000 seorang selain mengambil cuti daripada tugas masing-masing.

“Pada mulanya saya membeli tiket seorang diri, kemudian terfikir apa salahnya mengajak rakan-rakan lain. Alhamdulillah, beberapa rakan berjaya dipujuk untuk turut serta,” katanya.

Menurutnya, gerhana matahari penuh seterusnya yang menjadi sasaran pasukan itu adalah di Jeddah, Arab Saudi, tahun depan sebelum misi cerapan di Sydney, Australia pada 2028.

Katanya, gerhana matahari penuh dijangka dapat dilihat dari Malaysia pada 2042, manakala gerhana matahari separa pula dijangka berlaku pada 2028.

“Ini adalah sebahagian daripada matlamat kami untuk menjayakan cerapan tiga gerhana matahari penuh.

“Kalau hendak tunggu fenomena sebegini berlaku di negara sendiri, mungkin mengambil masa yang lama. Jadi, ketika masih muda inilah kita perlu merantau,” katanya. – UTUSAN

The post Empat rakyat Malaysia cerap gerhana matahari di Sepanyol appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved