
MADRID: Permintaan terhadap cermin mata pelindung melonjak di seluruh Eropah menjelang fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku pada Rabu, menyebabkan farmasi, kedai optik dan pelbagai premis lain berdepan kekurangan bekalan.
Di Sepanyol, yang sebahagian wilayahnya berada dalam laluan keseluruhan gerhana, mendapatkan cermin mata pelindung yang diperakui semakin sukar apabila banyak pusat pengedaran dilaporkan kehabisan stok.
Notis di pintu masuk Muzium Sains Semula Jadi Kebangsaan di Madrid memaklumkan bekalan cermin mata pelindung mereka telah habis.
Muzium itu merupakan antara 30 institusi sains di seluruh negara yang menyertai kempen anjuran kerajaan untuk mengagihkan dua juta pasang cermin mata secara percuma.
Pengusaha kedai optik di Barcelona, Carles Sisquella berkata, premisnya sudah kehabisan stok selama 10 hari.
Doktor memberi amaran melihat matahari secara terus ketika gerhana boleh merosakkan retina dan berpotensi mencederakan sel yang bertanggungjawab terhadap penglihatan pusat yang tajam.
Di Sepanyol, pihak berkuasa pada Isnin menarik balik enam model cermin mata dari pasaran kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan pada mata.
“Saya sudah bertanya di merata tempat sejak Jumaat, tetapi memang tidak dapat ditemui,” kata seorang wanita bernama Mabel kepada AFP di Barcelona selepas sekali lagi gagal mendapatkan cermin mata.
Unit Sepanyol rangkaian pasar raya Perancis, Carrefour berkata, permintaan terhadap cermin mata gerhana meningkat secara mendadak iaitu 20 kali ganda dalam beberapa hari kebelakangan ini berbanding tempoh sama bulan lalu. Fenomena sama turut berlaku di seluruh Eropah.
Di Brussels, Belgium, kira-kira 90 peratus permukaan matahari akan dilindungi bulan, menyebabkan orang ramai turut berlumba-lumba mendapatkan cermin mata pelindung.
Pengurus kedai optik, Fouad Mehdaoui berkata, beliau membuat tempahan cermin mata dalam jumlah besar lebih awal. Namun, permintaan tetap melebihi bekalan sehingga beliau terpaksa membuat tempahan tambahan.
“Dua kotak baru sahaja tiba dengan keseluruhan 100 pasang semuanya habis dalam masa 30 minit,” katanya ketika orang ramai terus berpusu-pusu ke kedai itu, sama ada secara kebetulan atau selepas mendapat maklumat daripada orang lain, sementara seorang pekerja tidak henti-henti menjawab panggilan telefon mengenai bekalan.
Di Perancis, yang hanya akan mengalami gerhana separa, sesetengah farmasi turut kehabisan stok, manakala yang lain masih menerima bekalan baharu tetapi pada harga jauh lebih tinggi.
Di Rome, Claudia Rinaldi dari kedai cermin mata Vision Optika berkata, bekalan pertama cermin mata gerhana habis serta-merta.
Kedainya berharap menerima penghantaran kedua menjelang pagi Rabu, dengan pelanggan sudah mula menghubungi mereka untuk bertanyakan ketersediaan stok.-AFP
The post Gerhana matahari cetus ‘demam’ cermin mata pelindung di Eropah appeared first on Utusan Malaysia.


