hamden29/10/2026 - 16:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Enam Ahli Parlimen Bersatu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) sebagai tanda sokongan kepada kerajaan Madani,
Perjanjian yang ditandatangani di Bangunan Parlimen itu bagi menjamin sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk Belanjawan 2027.
Sebagai balasan kepada sokongan itu, tujuh Ahli Parlimen berkenaan mengemukakan dua tuntutan reformasi utama, iaitu mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum tamat penggal pentadbiran semasa.
Mereka turut menuntut peruntukan dana pembangunan kawasan Parlimen pada kadar yang sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan yang tidak memegang jawatan dalam Kabinet.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Penasihat Politik Kanan Anwar, Tengku Zafrul Aziz; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Syed Saddiq.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlibat ialah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Dr. Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Dua hari sebelum itu, Anwar berkata peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh disalurkan menerusi CSA, seumpama perjanjian yang dimeterai dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Anwar menjadi Ketua Pembangkang.
Muhyiddin berkata, perjanjian itu bagaimanapun tidak bermakna mereka melepaskan tanggungjawab sebagai pembangkang.
"Kami kekal sebagai pembangkang. Bagaimanapun, antara perkara yang dipersetujui bersama ialah Bersatu akan menyokong Belanjawan yang sedang dibahaskan di Parlimen serta perkara-perkara berkaitan dengannya.
"Terdapat juga perkara berkaitan reformasi institusi, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan pendakwa raya," katanya ketika ditemui media selepas pertemuan dengan kerajaan berhubung perjanjian berkenaan, hari ini.
Muhyiddin berkata, ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini pernah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri juga hadir pada pertemuan berkenaan, bagi menandatangani CSA sebagai formaliti.
Ketika ini, blok kerajaan di Dewan Rakyat terdiri daripada 149 Ahli Parlimen, merangkumi Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebanyak tujuh kerusi.
Tiga Ahli Parlimen Warisan turut berada dalam blok kerajaan, bersama seorang wakil masing-masing daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Selain itu, lapan Ahli Parlimen bebas turut menyokong kerajaan, termasuk enam bekas wakil Bersatu.
Blok pembangkang pula terdiri daripada PAS dengan 43 Ahli Parlimen, Bersatu sebanyak 19 kerusi, Wawasan dengan enam kerusi dan Muda dengan satu kerusi.
Empat kerusi Parlimen kini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya). - DagangNews.com






