
PETALING JAYA: Armada Bersatu menegaskan kesejahteraan rakyat dan agenda pemerkasaan bumiputera kekal menjadi antara prinsip utama Bersatu berhubung penandatanganan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bersama Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya mengambil maklum penandatanganan perjanjian itu oleh enam Ahli Parlimen Bersatu bersama Kerajaan Persekutuan hari ini.
Menurutnya, sokongan berstruktur itu berpaksikan empat tonggak utama iaitu kepentingan negara, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan keutuhan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kestabilan tadbir urus domestik perlu dipertahankan bagi memastikan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi terus dilindungi ketika negara berdepan cabaran geoekonomi semasa.
Katanya, agenda pemerkasaan bumiputera turut dipastikan oleh Bersatu untuk termaktub secara substantif dalam perjanjian itu sebagai perkara utama yang tidak boleh dikompromi.
“Ini bagi menjamin ekosistem ekonomi, ekuiti pendidikan, dan peluang sosio-ekonomi anak watan terus dilindungi serta diperkasakan di bawah dasar persekutuan secara tuntas menerusi tuntutan parti.
“Di samping itu, penandatanganan CSA ini digerakkan atas dasar komitmen padu Bersatu terhadap Reformasi Institusi yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara reformasi struktur perundangan yang menjadi teras tuntutan parti itu ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menurutnya, penghadan tempoh jawatan Perdana Menteri bertujuan menjamin ketelusan tadbir urus dan mengelakkan pemusatan kuasa mutlak.
Katanya, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula merupakan rangka kerja perundangan yang perlu bagi memelihara kebebasan sistem kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa campur tangan politik.
Beliau berkata, perjanjian itu mencerminkan komitmen Bersatu untuk mengutamakan kepentingan nasional berbanding percaturan politik kepartian demi masa depan negara yang lebih stabil dan telus. – UTUSAN
The post Armada tegaskan empat prinsip utama sokongan CSA appeared first on Utusan Malaysia.






