Enam beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram di Chemor, minggu lalu.
Kesemua mereka adalah penganggur
Memetik laporan daripada Bernama, kesemua tertuduh iaitu Muhammad Affandi Zulkafli, 41, Muhammad Khairul Azmil Zulkafli, 40, Shahrul Azwan Zulkafli, 38, Mohamad Shah Herman Zulkafli, 35, Muhamad Amirul Zulkafli, 29, dan Mohamad Hafizi Zulkafli, 27, yang kesemuanya penganggur hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap kesemua tertuduh berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di sebuah pondok tidak bernombor bersebelahan sebuah rumah di Laluan Usaha, Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor pada jam 9.20 malam, 21 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, hukuman yang diperuntukkan adalah hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan minimum 12 kali.
Mahkamah turut tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin memandangkan hukuman bagi pertuduhan tersebut adalah berat. Sebutan semula bagi status laporan kimia ditetapkan pada 22 Oktober depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam perkembangan sama, mahkamah akan bersidang di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun pada petang ini bagi rakan mereka, Mohd Ismail Borhan, 43, yang sedang menerima rawatan atas masalah kesihatan bagi pertuduhan sama.
Sumber: BernamaThe post Enam Beradik Didakwa Edar Bahan Terlarang, Mahkamah Tolak Kesemua Tertuduh Diikat Jamin appeared first on Borak Daily.





