Enam bulan fikir sebelum peluk Islam

LocalPolitics
16 Jan 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Adi (kiri) melafazkan dua kalimah syahadah yang dipimpin Mohd Muzil Adli baru-baru ini. Foto FB MUIP

KUANTAN – Seorang pekebun daripada masyarakat Orang Asli mengambil masa enam bulan untuk berfikir dan menilai secara mendalam sebelum membuat keputusan memeluk Islam.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) (Baitulmal dan Operasi), Dr Asmadi Abdul Rahman selepas Adi Atou, 52, melafazkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Pengurus MUIP Kuantan, Mohd Muzil Adli Ne’mat baru-baru ini.

Menurut Asmadi, keputusan Adi yang berasal daripada suku Jakun di Gedung Siam itu dipengaruhi oleh pergaulan rapatnya dengan masyarakat Islam setempat.

“Selain faktor persekitaran, dorongan daripada ahli keluarga dan saudara-mara yang telah lebih awal memeluk Islam turut menjadi faktor penguat untuk beliau kembali kepada agama fitrah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas mengenai statistik pengislaman di negeri ini, Asmadi mendedahkan seramai 527 individu daripada pelbagai latar belakang etnik telah didaftarkan sebagai saudara baharu.

Jelasnya, daripada jumlah keseluruhan itu, masyarakat Orang Asli kekal sebagai kumpulan terbesar yang memilih Islam sebagai pegangan hidup iaitu seramai 335 orang.

“Trend ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif di Pahang manakala baki 192 individu lagi terdiri daripada pelbagai bangsa lain.

“Kita akan menyantuni golongan mualaf ini bukan sahaja dari sudut pendaftaran, malah merangkumi aspek kebajikan dan pendidikan agama yang berterusan,” ujarnya.

Asmadi turut memaklumkan, setiap saudara baharu akan dibimbing melalui kelas fardu ain serta layak menerima bantuan yang sewajarnya.

Ujar beliau, langkah tersebut bagi memastikan golongan berkenaan dapat memulakan kehidupan baharu dengan lebih sempurna.

“Kita tidak mahu mereka berasa terasing selepas memeluk Islam.

“Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap daripada mereka menerima sokongan moral dan bimbingan agama yang secukupnya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved