Enam dicekup melombong kawasan luar lesen, 360 tan bijih besi RM2.98 juta dirampas

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 8:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam dicekup melombong kawasan luar lesen, 360 tan bijih besi RM2.98 juta dirampas
Antara treler yang dirampas dalam operasi Op Bersepadu Khazanah di Mukim Kuala Nal, Batu Mengkebang di Kuala Krai pada Selasa. - Foto: PGA

KUALA KRAI – Taktik sebuah syarikat perlombongan yang dipercayai menjalankan aktiviti melombong bijih besi di luar kawasan dibenarkan terbongkar apabila enam lelaki dicekup dalam serbuan Op Bersepadu Khazanah di Mukim Kuala Nal, Batu Mengkebang di sini pada Selasa.

Turut dirampas ialah sebuah jentera pengorek, empat treler serta 360 tan bijih besi dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM2.98 juta.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, syarikat berkenaan didapati memiliki lesen perlombongan yang masih sah sehingga 13 November 2026, namun hasil pemeriksaan mendapati kerja-kerja melombong telah diperluaskan sehingga melangkaui kawasan yang diluluskan mengikut syarat lesen.

Menurut beliau, serbuan kira-kira jam 1 petang itu dilakukan sepasukan anggota Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan hasil risikan.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, anggota menemukan sebuah jentera pengorek sedang memindahkan bijih besi ke dalam empat treler di kawasan lombong terbabit.

"Enam lelaki terdiri daripada seorang penjaga lombong, pemandu jengkaut dan empat pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan.

"Semakan awal mendapati syarikat terbabit memiliki permit perlombongan yang masih sah, namun pemeriksaan lanjut oleh PTG mengesahkan aktiviti perlombongan telah dilakukan di luar kawasan yang dibenarkan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ahmad Radzi berkata, siasatan juga mendapati semua suspek bekerja di bawah seliaan seorang penyelia yang bertanggungjawab mengurus operasi perlombongan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati bijih besi yang dilombong itu dipercayai dihantar ke sebuah syarikat pemprosesan di Kuantan, Pahang.

"Kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada PTG Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001.

"Risikan dan pemantauan akan diteruskan bagi mengesan sebarang pelanggaran syarat lesen serta membanteras aktiviti perlombongan haram di negeri ini," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved