
IPOH – Operasi kuari di Mukim Kampung Buaya, Kuala Kangsar yang menjadi perhatian selepas tular di media sosial baru-baru ini merupakan aktiviti perlombongan yang sah, bukannya dijalankan secara haram.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aktiviti pengkuarian tersebut telah memperoleh lesen melombong daripada kerajaan negeri sejak sekian lama.
“Kalau dari segi perundangan, aktiviti kuari itu adalah perlombongan halal, maksudnya mereka memang mendapat lesen daripada kerajaan negeri sejak dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-9 di Galasa Caldwell, di sini hari ini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas video tular yang dirakam dari udara dengan memaparkan keadaan sebuah bukit yang didakwa ditarah bagi tujuan perlombongan.
Video yang meraih lebih tiga juta tontonan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet berhubung status dan kesahihan operasi kuari berkenaan.
Menurut lanjut Saarani berkata, kaedah perlombongan yang digunakan di kawasan itu berbeza berbanding kaedah lazim di lokasi lain seperti di Simpang Pulai.
Katanya, teknik yang digunakan melibatkan kaedah tetingkat (benching) yang mana lebih selamat kerana dapat menstabilkan cerun di kawasan kerja kuari.
“Ini berbeza dengan kaedah konvensional yang dilaksanakan di tapak-tapak kuari lain sebelum ini.
“Kaedah teknikal ini bukan sesuatu yang luar biasa, malah turut digunakan dibanyak negara mengikut kesesuaian bentuk muka bumi dan pelan kuari yang diluluskan,” katanya.
Dalam perkembangan sama Saarani berkata, beliau telah mengarahkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak supaya menjalankan pemeriksaan semula di lokasi berkenaan bersama jabatan teknikal berkaitan susulan penularan video tersebut di media sosial.
Menurut beliau, pemeriksaan itu bertujuan memastikan kaedah perlombongan yang digunakan adalah betul, selamat dan tidak memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar.
“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menjalankan penilaian sebelum mengemukakan laporan kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai perkara yang ditularkan itu, namun sebarang penilaian bergantung kepada hasil kajian dan laporan jabatan teknikal,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Kuari tular di Kuala Kangsar bukan perlombongan haram appeared first on Kosmo Digital.





