IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans GBB digerakkan pada Isnin menggunakan laluan darat, air dan udara.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan enam individu itu pada petang Ahad sebelum keputusan dibuat untuk memulakan operasi pencarian pada pagi Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Enam individu hilang: Bomba sedang kumpul maklumat sebelum selaras tindakan
Terputus hubungan, budak 9 tahun antara enam pendaki dikhuatiri hilang
Bomba Kelantan siap siaga bantu SAR enam pendaki hilang di Lojing
Menurutnya, lapan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bersama lima malim bomba menggunakan tiga bot dari Jeti Trojan Tasik Temengor menuju ke Pos Kemar, Gerik.
"Pasukan bomba akan menggunakan laluan air dengan bot manakala 12 anggota MGP dari Sungai Siput bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda menuju ke Pos Kemar dan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba.
"Kedua-dua pasukan akan berkumpul di Pos Kemar sebelum gerak kerja pencarian dilaksanakan berdasarkan perancangan yang diputuskan bersama agensi terlibat," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Sayani berkata, mesyuarat penyelarasan antara agensi masih berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi menentukan gerak kerja pasukan penyelamat dalam usaha mengesan keenam-enam individu berkenaan.
Menurutnya, Pos Kawalan Hadapan (PKH) akan ditubuhkan di Pos Kemar, manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) atau Pos Kawalan Operasi (PKOP) dijangka ditempatkan di IPD Gerik atau Balai Bomba Gerik.
"Pasukan K9 (Unit Anjing Pengesan) JBPM juga sudah tiba pagi ini dan berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sekiranya diperlukan. Buat masa ini, kita menunggu maklumat dan perancangan yang lebih jelas sebelum menggerakkan pasukan K9.
"Selain itu, unit udara dari Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang dijangka bergerak pada jam 2 petang bagi menjalankan tinjauan udara bermula dari lokasi terakhir mangsa dikesan pada 1 September sebelum tinjauan diteruskan ke arah Pos Kemar," katanya.
Tambah beliau, operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am (PGA), JBPM serta pasukan MGP.
Katanya, jumlah anggota dan agensi yang terlibat boleh ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan operasi.
Pada Ahad, media melaporkan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan enam individu termasuk empat ahli keluarga dan dua malim gunung itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan.
Ahli keluarga mangsa yang berada di Selangor memaklumkan kehilangan itu selepas empat individu terbabit gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September.
Choon Foo berkata, hasil semakan dengan Jabatan Perhutanan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu menunjukkan mereka berada di kawasan hutan Perak sebelum hubungan terputus.
Beliau berkata, kumpulan itu memasuki hutan melalui Pos Dakoh dan dijadualkan keluar di Pos Kemar, Perak.






