Enam pendaki hilang: SAR digerakkan dari darat, air dan udara

7 Sep 2026 • 12:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Enam pendaki hilang: SAR digerakkan dari darat, air dan udara

GERIK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu termasuk empat beranak yang hilang ketika menyertai ekspedisi Gunung Trans Gerah di Gua Musang, Kelantan digerakkan dari darat, air dan udara di sekitar Pos Kemar hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, tiga bot bomba bersiap sedia di Jeti Temenggor untuk membawa lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta lima anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) ke pos berkenaan.

“Seramai 12 Malim Gunung Perhutanan (MGP) turut digerakkan dari Sungai Siput ke Pos Kemar melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda pagi tadi.

“Perjalanan pasukan MGP dijangka mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di Pos Kemar.

“Kesemua anggota penyelamat dan MGP akan berkumpul di Pos Kemar sebelum SAR digerakkan bagi mengesan mangsa yang hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Sayani, bagi pencarian melalui udara, Unit Udara JBPM dijadualkan bergerak dari Bertam, Pulau Pinang pada pukul 2 petang ini untuk melakukan tinjauan di kawasan terbabit.

Katanya, tinjauan itu akan bermula dari lokasi terakhir mangsa dikesan pada 1 September lalu sehingga ke Pos Kemar sebagai gerak kerja awal operasi SAR.

“Selain itu, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM tiba pagi tadi dan kini berada dalam keadaan siap sedia sekiranya diperlukan bagi membantu operasi SAR. Buat masa ini, kita masih belum mempunyai perancangan jelas untuk menggerakkan K9.

“Jadi, kita menggerakkan STORM dan MOSAR terlebih dahulu, manakala K9 akan digunakan selepas kita memperoleh maklumat dan perancangan operasi yang lebih jelas,” katanya.

Tambah Sayani, operasi SAR mengesan empat beranak dan dua malim gunung turut disertai pasukan polis, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Pasukan Gerakan Am.

“Buat masa ini, mesyuarat antara agensi masih berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi merangka gerak kerja operasi SAR untuk mengesan enam mangsa tersebut,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, enam individu termasuk empat sekeluarga dikhuatiri hilang selepas gagal keluar dari kawasan hutan mengikut jadual pada 3 September lalu.

Mereka ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat beranak iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isteri, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – KOSMO! ONLINE

The post Enam pendaki hilang: SAR digerakkan dari darat, air dan udara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved