
TEL AVIV – Satu rakaman video ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mencetuskan spekulasi hangat di media sosial selepas sebahagian pengguna mendakwa imej tangannya menunjukkan seolah-olah mempunyai “enam jari”.
Kontroversi itu timbul apabila pada tanda masa sekitar 0:35, Netanyahu dilihat mengangkat kedua-dua tangannya. Beberapa pengguna media sosial mendakwa terdapat lebihan daging berhampiran jari kelingking yang disalah tafsir sebagai jari tambahan.
Dakwaan tersebut segera mencetuskan teori bahawa video berkenaan mungkin dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), dengan sebahagian pengguna menyifatkannya sebagai “AI finger glitch”, iaitu kesilapan biasa yang kadangkala muncul dalam imej atau video yang dijana AI.
Penganalisis politik konservatif Amerika Syarikat, Candace Owens, turut mempersoalkan video tersebut di platform X.
“Di mana Bibi?” tulisnya merujuk kepada nama gelaran Netanyahu.
“Kenapa pejabatnya memuat naik dan memadam video AI palsu daripadanya, dan mengapa terdapat panik besar di Rumah Putih?” katanya lagi.
Spekulasi Tular Di Media Sosial
Menurut laporan beberapa media antarabangsa, spekulasi itu tercetus selepas rakaman ucapan tersebut mula tular dan dipotong kepada beberapa klip pendek yang kemudian dianalisis oleh pengguna media sosial.
Laporan itu menyatakan bahawa sebahagian klip yang dikongsi secara meluas merupakan bingkai pegun daripada video, yang boleh menimbulkan ilusi visual apabila sudut tangan, bayang atau pencahayaan tertentu berlaku.
Selain isu “enam jari”, seorang pengguna turut mempersoalkan pergerakan latar belakang dalam video berkenaan.
Menurutnya, langsir gelap di belakang Netanyahu kelihatan bergerak dalam corak yang sama berulang kali, seolah-olah video tersebut sedang “loop”, manakala dua bendera Israel di belakangnya langsung tidak bergerak.
“Perhatikan bagaimana langsir itu bergerak dalam pola yang sama sepanjang video, hampir seperti ia berulang. Tetapi dua bendera itu langsung tidak bergerak. Petunjuk jelas video AI,” tulis pengguna berkenaan.
Namun, dakwaan tersebut turut dipatahkan oleh pengguna lain yang menjelaskan bahawa penggunaan latar belakang tiruan atau maya kini menjadi perkara biasa, termasuk dalam siaran berita.
“Ramai orang menggunakan latar belakang palsu atau digital hari ini, seperti penyiar berita. Itu tidak bermaksud dia palsu,” katanya.
Sementara itu, chatbot AI milik platform X, Grok, turut melakukan semakan fakta terhadap dakwaan tersebut.
Menurut Grok, Netanyahu tidak mempunyai enam jari dan imej yang tular itu hanyalah ilusi optik.
“Bahagian yang dibulatkan dalam gambar tersebut hanyalah kesan bayang, sudut tangan, atau bentuk semula jadi tapak tangan seperti hypothenar eminence yang kelihatan dalam bingkai pegun daripada video ucapan beliau,” jelas Grok.
Tambahnya, rakaman penuh rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Akhbar Kerajaan Israel jelas menunjukkan Netanyahu mempunyai lima jari pada setiap tangan.
Hari Ke-16 Perang AS-Israel-Iran
Sementara itu, konflik di Timur Tengah terus memuncak apabila perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran kini memasuki hari ke-16.
Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari, yang dilaporkan mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, pada hari pertama konflik.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap beberapa negara jiran yang mengeksport minyak.
Dalam perkembangan berkaitan, Tehran turut menutup Strait of Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi penting kepada bekalan tenaga dunia.
Menurut laporan media antarabangsa, selat sempit itu lazimnya mengendalikan sekitar 20 juta tong minyak sehari, selain hampir 20 peratus perdagangan gas asli cecair (LNG) global, menjadikannya antara laluan tenaga paling kritikal di dunia.
Penutupan laluan tersebut dilihat berpotensi mengganggu perdagangan global serta memberi kesan besar kepada pasaran tenaga antarabangsa. – The Malaysian Update
The post ‘Enam Jari’ Netanyahu Cetus Spekulasi AI, Netizen Persoal Video Ucapan Terbaharu appeared first on The Malaysian Update.


