Enam lelaki maut dalam nahas kereta, lori di Bentong

LocalCars
25 Jul 2026 • 9:58 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Enam lelaki maut dalam nahas kereta, lori di Bentong

SHAH ALAM, 25 JULAI: Enam lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun maut selepas Toyota Vios yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Bentong pagi tadi.

Kejadian jam 4.25 pagi itu mengakibatkan semua mangsa yang berada di dalam Toyota Vios meninggal dunia di lokasi selepas tersepit akibat rempuhan kuat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, jentera pertama tiba pada jam 4.32 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios serta sebuah lori satu tan.

"Enam mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Pemandu lori satu tan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mohd Razam berkata, anggota bomba memberikan rawatan awal selain menggunakan peralatan khas penyelamatan untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

"Mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera diserahkan kepada KKM," katanya.

Operasi menyelamat membabitkan tujuh anggota BBP Karak dengan bantuan sembilan anggota BBP Mentakab sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved