
BENTONG – Enam sahabat maut selepas kereta jenis Toyota Camry dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, Karak, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi, kesemua mangsa berusia antara 16 hingga 25 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang maut ialah V. Mugilan, 25; K. Dineshvaran, 22; K. Alaganathan 21; A. Kanabati Raja, 19,; S. Kiisven, 17, dan M. Paranthaman,16.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dan kereta jenis Toyata Camry dipandu lelaki berusia 25 tahun bersama lima penumpang.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan menuruni bukit dan selekoh, kereta Toyota Camry itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemandu lori berusia 31 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan.
“Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
The post Enam maut, kereta masuk laluan bertentangan dan bertembung lori appeared first on Kosmo Digital.






