
Kota Kinabalu: Enam nelayan Vietnam didenda sejumlah RM1 juta kerana cuba menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada kesemua warga Vietnam itu yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadap mereka, pada Rabu.
Mereka ialah juragan Nguyen Thai Hoa, 32, kru Huynh Van Dat, 27, Truong Van Tham, 39, dan Nguyen Van Lon, 47, Nguyen Xua, 53, dan Tran Cong Chuong, 23.
Juragan itu didenda RM500,000 atau penjara lima bulan manakala setiap anak kapal didenda RM100,000 atau penjara empat bulan.
Enam tertuduh didapati cuba menangkap ikan tanpa sebarang permit di dalam sebuah kapal nelayan asing pada jam 2.57 petang 18 Sept tahun ini di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat.
Warga Vietnam itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda sehingga RM6 juta bagi juragan, dan RM600,000 bagi setiap anak kapal, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, peguam Luke Ressa Balang yang mewakili kesemua warga Vietnam itu meminta hukuman ringan dengan mengatakan tertuduh yang semuanya nelayan itu hanya mahu mencari pendapatan untuk menyara keluarga di Vietnam, dan mereka tidak berniat melakukan jenayah.
Luke berkata mereka sangat menyesal dan mahu pulang ke negara mereka secepat mungkin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurun Nazifah Muhammad Iyen dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab penangkapan ikan secara haram yang dilakukan oleh nelayan asing telah menjejaskan sumber laut dan mata pencarian nelayan tempatan, khususnya di Sabah.
Mahkamah memerintahkan supaya kapal itu dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Kesemua warga Vietnam itu juga diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

