Enam sekeluarga maut nahas: Jenazah selesai bedah siasat, dibawa ke Masjid Al Abidi

8 Jun 2026 • 9:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam sekeluarga maut nahas: Jenazah selesai bedah siasat, dibawa ke Masjid Al Abidi
Kenderaan yang membawa lima jenazah menuju ke Merbok untuk pengebumian.

SUNGAI PETANI - Jenazah lima sekeluarga termasuk bayi dua bulan yang maut dalam nahas di Kampung Baru Pinang Tunggal di sini selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pada Isnin.

Kesemua jenazah kemudian dibawa keluar dari Jabatan Forensik hospital berkenaan kira-kira jam 7 pagi sebelum diuruskan untuk dikebumikan di Masjid Al Abidi, Simpang Tiga Pasir, Merbok.

Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri, Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29, dan isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, bersama bayi mereka, Ahmad Mikail Ahmad Shukri, dua bulan.

Turut terkorban ialah ibu kepada Ahmad Shafiq, Nora Mohd Husin, 55, serta adiknya, Ahmad Fahim, 21.

Empat van jenazah yang membawa kesemua mangsa kemalangan itu diiringi kenderaan polis melalui Lebuhraya Utara Selatan.

Jenazah dijangka dikebumikan sekitar jam 11 pagi Isnin.

Terdahulu, jenazah anak saudara Ahmad Shafiq, Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang turut terkorban telah dibawa pulang ke pangkuan keluarga di Penaga, Pulau Pinang.

Proses pengebumian dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga sekitar jam 2 pagi.