Enam syarikat digantung lesen ekoran kebakaran hutan di Kalimantan

WorldEnvironment
26 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enam syarikat digantung lesen ekoran kebakaran hutan di Kalimantan

JAKARTA: Kementerian Perhutanan Indonesia mengenakan sekatan terhadap enam syarikat yang memegang Lesen Perniagaan Penggunaan Hutan (PBPH) berhubung kebakaran hutan di Kalimantan

Sekatan itu dilakukan selepas satu pemantauan dilakukan mendapati kebakaran hutan di Kalimantan bermula dalam kawasan yang diuruskan syarikat-syarikat berkenaan, melibatkan keluasan keseluruhan 1,511.55 hektar.

Pengarah Pengawasan, Sekatan Pentadbiran dan Hal Ehwal Perhutanan Awam kementerian itu, Ardi Risman berkata dalam kenyataan dari Jakarta pada Selasa bahawa sekatan pentadbiran dikenakan terhadap empat syarikat di Kalimantan Barat.

Empat syarikat itu ialah -PT WEL, PT FI, PT MPK dan PT WSP.

Sekatan turut dikenakan terhadap syarikat PT NES di Kalimantan Tengah dan PT PSR di Kalimantan Timur.

Sekatan itu dikenakan berikutan kebakaran hutan dan tanah yang berulang di kawasan operasi syarikat-syarikat ber­ke­naan.

Berdasarkan sekatan tersebut, syarikat terbabit diwajibkan meningkatkan langkah-langkah kawalan kebakaran dan memulihkan kawasan yang terjejas.

“Langkah penguatkuasaan ke­rajaan menghendaki syarikat memenuhi kewajipan yang telah ditetapkan daripada me­ningkatkan sistem kawalan kebakaran hingga memulihkan kawasan  terjejas dalam tempoh ditetapkan.

“Bagi PT MPK, kami mengenakan kedua-dua penggantungan lesen perniagaan dan perintah penguatkuasaan kerajaan berikutan kebakaran yang berlaku secara meluas dan berulang. Kami akan memantau dan menilai pematuhan terhadap semua kewajipan ini,” kata Ardi.

Beliau menambah, jika syarikat gagal memenuhi keperluan tersebut, sekatan boleh di­tingkatkan mengikut peraturan yang ditetapkan dan berpotensi membawa kepada pembatalan lesen perniagaan mereka.

Hasil pemantauan menunjukkan kawasan terbakar terbesar direkodkan di PT WEL, melibatkan kira-kira 760.51 hektar.

Ia diikuti 394.83 hektar di PT MPK; 107.7 hektar di PT WSP; 95.87 hektar di PT FI; 82.26 hektar di PT PSR dan 70.38 hektar di PT NES.

Pelaksanaan sekatan itu me­rupakan tindakan susulan berhubung pengawasan terhadap kewajipan syarikat untuk mencegah dan mengawal kebakaran hutan serta tanah di kawasan operasi masing-masing.

Syarikat juga boleh diarahkan untuk melaksanakan pemulihan tumbuh-tumbuhan di kawasan yang terjejas.

Khusus bagi kawasan tanah gambut, kewajipan pemulihan merangkumi pemulihan fungsi hidrologi melalui pengurusan air, penutupan saluran, pembasahan semula tanah gambut dan pemantauan paras air bawah tanah.

Kebakaran hutan di Kalimantan telah menyebabkan asap merebak ke Borneo, Malaysia, dengan enam kawasan di Sarawak mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Kawasan yang terbakar itu lebih luas berbanding musim El Nino sebelumnya pada 2019 dan 2023.

Namun, masih tidak sebesar jika dibandingkan pada 2015, ketika fenomena El Nino berlaku dengan kekuatan luar biasa.

El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan pada corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.

Fenomena ini biasanya menyebabkan cuaca kering dan kemarau di Indonesia. – AGENSI

The post Enam syarikat digantung lesen ekoran kebakaran hutan di Kalimantan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved