![Enggan Murid Ketinggalan & Nak Mudahkan PdPR, Cikgu Gigih Ke Rumah Murid Ekoran Sekolah Tutup Akibat Jerebu [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Guru-datang-rumah-adakan-pdpr.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui pada ketika ini sekolah khususnya di negeri Johor ditutup buat sementara waktu dek kerana keadaan jerebu yang melanda negara.
Namun, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang kebiasaannya dilaksanakan secara online masih diteruskan sepanjang tempoh penutupan tersebut bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.
Guru Datang Rumah Murid Jalankan Proses Pembelajaran, Pernah Buat Perkara Sama Ketika PKP
Namun lain pula dengan seorang guru pemulihan khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Mas, Tangkak, Johor, Mohammad Alif Rahman atau dikenali sebagai Cikgu Alif apabila dia mengambil pendekatan berbeza dengan datang sendiri ke 15 buah rumah muridnya untuk mengadakan proses pembelajaran.
Kisah guru yang berusia 40 tahun dan menetap di Jasin, Melaka itu mula menjadi bualan apabila dia berkongsi perkara tersebut di media sosial.
Jelas Cikgu Alif, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya. Ini kerana dia pernah melakukan perkara sama ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya percaya, setiap guru ada cara dan pendekatan mereka dalam mendidik anak murid ketika musim jerebu ini atau sewaktu penutupan sekolah.
“Tapi saya pilih pendekatan ini kerana kenal anak murid dah rapat dengan keluarga mereka. Mereka tinggal di dalam kampung jadi sukar mendapatkan akses Internet jika buat kelas secara dalam talian.
“Jadi, biarlah saya yang datang ke rumah mereka bagi memudahkan proses PdPR dan memastikan mereka tidak ketinggalan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Guru Dapat Kebenaran Dari Guru Besar & Ibu Bapa Turut Beri Izin Datang Rumah Murid
Kongsi Cikgu Alif, tindakannya itu telahpun mendapat restu guru besar sekolah berkenaan, Aizah Ghazali yang turut banyak memberi inspirasi kepadanya.
Malah, dia juga sudah berhubung dengan ibu bapa anak muridnya yang turut memberi keizinan serta persetujuan dengan kebanyakan mereka menyambut baik usahanya itu.
“Saya sudah maklumkan inisiatif ini kepada emak ayah murid pada Jumaat (9 Oktober) lalu sebelum mulakan inisiatif minggu ini.
“Sebelum datang, saya akan maklumkan kepada mereka dan luangkan masa dalam 15 minit di setiap rumah.
“Ikut kelapangan mereka juga kerana jika tak dapat datang pada sebelah pagi, saya akan hadir sebelah petang.
“Saya faham privasi keluarga jadi kebiasaannya, akan minta mengajar murid di luar rumah saja tapi ada ibu bapa sediakan tempat. Hakikatnya, saya bukan datang untuk makan atau minum tapi ikhlas membantu murid,” katanya.
Datang Mengajar Rumah Murid Adalah Satu Kepuasan, Percaya Ia Satu Pendekatan Yang Baik
Jelas Cikgu Alif yang pernah merangkul Anugerah Guru Inspirasi Daerah Tangkak pada tahun 2025, apa yang dilakukannya itu memberi kepuasan terhadap dirinya sendiri.
Malah, pendekatan itu juga dianggap sebagai cara yang terbaik buat anak muridnya itu.
“Ini ikhtiar saya buat anak didik dan esok (15 Oktober) pun akan masuk ke perkampungan Orang Asli untuk berjumpa dan mengajar mereka secara bersemuka.
“Diharap tiada pihak yang salah faham kerana bukan niat saya untuk menunjuk jauh sekali anggap diri ini lebih baik.
“Lagipun, jika bukan waktu jerebu, saya selalu ke rumah murid, ajak mereka keluar makan dan pernah pergi buka puasa bersama.
“Cuma apa yang saya kongsikan baru-baru ini adalah rutin mengajar dalam tempoh sekarang dan cebisan perjuangan sebagai guru Pemulihan Khas yang mungkin tak ramai nampak,” jelasnya.
Terdahulu, Kisah Cikgu Aliff mula tular apabila dia berkongsi kisah pembelajarannya itu di media sosial.
Perkongsian bapa kepada empat orang anak itu nyata mendapat perhatian apabila ramai warganet yang memuji malah menzahirkan penghargaan atas usaha serta inisiatifnya memastikan murid tidak ketinggalan.
@alif_rahman86 Terima kasih emak dan ayah kerana mengizinkan saya menyantuni anak-anak di rumah. Kebahagiaan dalam mendidik bukan pada sempurnanya perjalanan, tetapi pada setiap nilai kebaikan yang dapat disemai. Semoga setiap usaha kecil ini menjadi kenangan indah dan asbab lahirnya generasi yang berakhlak mulia. #coretancikgualif #pdprjerebu #pemulihankhas #skpmsinardihati ♬ Kejar Impian – AFF13
Tonton video [DI SINI]
Baca Artikel Berkaitan: Lebih 30 Tahun Mengajar, Guru Ini Hanya Terima Gaji RM91 Sebulan & Dibayar 3 Bulan Sekali
Baca Artikel Berkaitan: Guru Kongsi Pengalaman Sebenar Mengajar Di Sekolah Terapung Buat Ramai Kagum [Video]





