IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak membenarkan ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah susulan keadaan jerebu ketika ini.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, JPN memaklumkan, ketidakhadiran itu hanya perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah.
Menurut kenyataan itu, semua sekolah di negeri ini beroperasi seperti biasa pada Jumaat dan murid yang hadir digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
"Ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing berikutan keadaan jerebu boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah," kata kenyataan itu.
JPN Perak menegaskan, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah.
Sehubungan itu, semua pihak diminta supaya terus peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berkaitan keadaan jerebu.
Pada Khamis, media melaporkan sebanyak 34 stesen pemantauan di seluruh negara kekal merekodkan kualiti udara pada kategori Tidak Sihat setakat jam 11 pagi ini, dengan Tasek di Ipoh, mencatat peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling ketara dalam tempoh sejam lalu.
Menurut data terkini Portal APIMS Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Tasek merekodkan peningkatan 18 mata daripada 117 pada jam 10 pagi kepada 135.






