'Engkau yang kecil berlegar-legar sepatutnya sedar diri, rasa malu' - Hamzah

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 2:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hamzah

MELAKA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyindir segelintir pihak yang mendakwa beliau tidak mempunyai sokongan dan berlegar-legar mencari ‘rumah baharu’ selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, tanggapan itu tidak tepat apabila ramai pihak terutama pengamal media yang berminat mengikuti rapat perkembangan hala tuju politiknya.

“Ada penganalisis sebelah sana kata saya tidak ada sokongan, jadi tidak perlu takut. Tetapi apabila ramai wartawan datang bertanya, itu menunjukkan saya mempunyai sokongan.

“Kalau sokongan itu ada, saya nak maklumkan bahawa saya tidak akan merugikan rakyat,” katanya selepas hadir pada Jamuan Aidilfitri Reset Melaka di Peringgit Point di sini pada Sabtu.

Turut hadir, bekas Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang kini merupakan wakil Reset Melaka.

Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu berkata, sokongan yang diterimanya bukan sahaja daripada bekas ahli Bersatu, malah turut melibatkan individu lain yang berminat untuk bersama beliau dalam arena politik.

Dakwanya lagi, terdapat ahli Parlimen lain dalam Bersatu yang menunjukkan sokongan kepadanya, sekali gus mencerminkan kepentingan jumlah sokongan dalam politik.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, dalam politik, angka itu penting kerana ia memberi kekuatan kepada sesuatu perjuangan.

“Saya telah dapat sokongan 18 daripada ahli Parlimen yang dahulunya bersama parti lama, kemudian menjadi 19 termasuk saya.

"Kalau saya dah bersama dengan semua penyokong saya, yang tinggal hanya enam orang (daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu) nak cakap apa?

“Yang kata saya berlegar-legar itu bagaimana? Engkau yang kecil berlegar-legar itu sepatutnya sedari diri, patut rasa malu,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan menyertai Pas, Hamzah berkata perkara itu hanya desas-desus dan tiada kepastian, justeru beliau enggan mengulas lanjut.

Beliau turut menegaskan tidak terikat dengan sebarang jawatan tertinggi dalam mana-mana parti, sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha membina kekuatan politik.

“Dulu media kata saya ini operator. Salahkah kalau saya jadi operator sekali lagi? Soal siapa yang boleh jadi pemimpin, saya akan ‘operate’ supaya orang itu naik dan akhirnya menjadi pemimpin dalam negara.

“Apa salahnya? Orang kata, bolehkah operator jadi pemimpin? Saya beri satu contoh, Vladimir Putin pernah menjadi operator yang baik pada satu ketika dan hari ini beliau merupakan pemimpin negara Rusia,” katanya.