
EKONOMI Biru ialah fokus baharu agenda pembangunan Sabah di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.
Beliau berkata antara bidang yang dikenal pasti untuk Sabah ialah perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pengangkutan, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, sumber mineral, bioteknologi dan farmaseutikal, karbon biru, pengurusan sisa dan kawalan pencemaran, penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur marin.
Ekonomi Biru diperkenalkan pada 2012 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan memberi penekanan kepada pengurusan mampan sumber marin dan pantai supaya lebih produktif dan mewujudkan ekosistem marin yang sihat.
“Ekonomi Biru dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 sebagai salah satu pendekatan untuk merangsang ekonomi negara.
“Kedudukan geografi Sabah sangat strategik, dikelilingi lautan seluas 37,300 kilometer persegi dengan pelantar benua 116,800km persegi dan garis pantai sepanjang 2,383km.
“Untuk mengambil kesempatan daripada ini, langkah ke hadapan agenda pembangunan Negeri di bawah Pelan Pembangunan SMJ ialah menjadikan Ekonomi Biru sebagai fokus baharu,” katanya ketika membuat penggulungan bagi Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu pada 29 November.
Beliau menjawab Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag), Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar (Kawang) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) yang membangkitkan Ekonomi Biru semasa membahaskan belanjawan.
Menurut Abidin, Ekonomi Biru merujuk kepada penggunaan mampan sumber marin untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan penciptaan pekerjaan, di samping mengekalkan kelestarian ekosistem marin dan menjanjikan potensi besar dalam pelbagai bidang.
“Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun semasa pembentangan Belanjawan Sabah 2024, Kerajaan Negeri akan menganjurkan persidangan antarabangsa pada Februari 2024.
“Sebagai persediaan menghadapinya, Sekretariat SMJ akan menganjurkan persidangan Synedrio Sabah Maju Jaya: Meneroka Khazanah Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru di Sabah dengan tema ‘Beyond Limits, Unleashing Economy’ pada 14 Disember 2023.
“Persidangan ini bertujuan untuk merungkai dan seterusnya menghasilkan kerangka Ekonomi Biru untuk Sabah. Persidangan ini akan melibatkan 200 peserta daripada pelbagai sektor iaitu kerajaan, NGO, pemain industri, ahli akademik, ahli politik dan orang ramai dari dalam dan luar Sabah.
“Panel penceramah mempunyai pengalaman dan kepakaran antarabangsa dalam Ekonomi Biru. Hasilnya akan memberi pendedahan, pemahaman dan kesedaran kepada semua yang berminat bagi membolehkan Kerajaan Negeri menghasilkan rangka kerja yang inklusif dan boleh dilaksanakan,” katanya.
Sesi perbincangan meja bulat yang diketuai oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya akan diadakan pada 15 Disember untuk merangka kerangka pelan tindakan Ekonomi Biru sebagai persediaan awal untuk persidangan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


