
KUALA LUMPUR 11 Dis – EP Manufacturing Berhad (EPMB) terus memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem automotif negara dengan melancarkan Fasa 2 kemudahan pengeluaran automotifnya di Melaka, yang meningkatkan keupayaan pengeluaran tahunan kepada 30,000 unit setahun, berbanding 6,000 unit ketika ini.
Langkah strategik itu menandakan transformasi pesat EPMB daripada pembekal komponen Tier-1 kepada rakan kongsi pemasangan kenderaan secara bersepadu bagi jenama automotif global, khususnya pengeluar dari China yang semakin agresif menembusi pasaran ASEAN.
Menurut EPMB dalam kenyataan hari ini berkata, sejak kerja tanah Fasa 1 dimulakan pada suku keempat 2023, lebih 6,000 unit GWM H6 HEV telah dihasilkan dan dijual di Malaysia.
Sementara itu, pengeluaran perintis untuk BAIC X55 dan BJ40 selesai pada November 2025, dengan pengeluaran penuh dijadual bermula Januari 2026.
Pengeluaran perintis bagi model MG pula dijangka bermula Februari 2026.

Keupayaan pemasangan EPMB turut disokong rangkaian kilang pembuatan komponennya yang terletak di Kedah, Perak, Selangor dan Melaka.
Fasa 3, yang dijangka beroperasi menjelang akhir suku ketiga 2026, akan menampilkan kemudahan mengecat badan kenderaan secara dalaman bagi meningkatkan lokaliti, nilai tambah dan daya saing ekosistem automotif negeri itu.
Ia akan dibangunkan bersebelahan Fasa 2 di atas tanah seluas lapan ekar.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata pelancaran Fasa 2 membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan lebih agresif untuk memenuhi permintaan jenama pelanggan di Malaysia.
“Syarikat berbangga melancarkan Fasa 2 kemudahan pengeluaran automotif ini, yang akan membolehkan kami meningkatkan pengeluaran dengan ketara dan memenuhi permintaan semakin meningkat bagi jenama pelanggan kami,” katanya.
“Pencapaian ini hanya boleh direalisasikan melalui kepercayaan dan kerjasama OEM rakan syarikat seperti GWM, BAIC dan SAIC, selain dedikasi para pekerja EPMB.”
Hamidon berkata EPMB kini giat berurusan dengan lebih banyak OEM dari China yang melihat Malaysia sebagai lokasi pemasangan dan penyetempatan strategik untuk model stereng kanan di rantau Asia Pasifik.
“Malaysia kini dilihat sebagai hab automotif yang kompetitif, terutama bagi model RHD. Dengan integrasi lebih mendalam dalam rantaian bekalan automotif China yang maju, syarikat memposisikan EPMB dan Melaka sebagai hab pemasangan bagi pengeluar China yang menyasarkan pasaran Malaysia dan ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata peluasan Fasa 2 mencerminkan peralihan Malaysia ke arah pengeluaran automotif bernilai tinggi.
Menurutnya, projek tersebut memperkukuh pengeluaran domestik, memacu pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti bagi rakyat.
“Pembangunan ini menyokong peningkatan kapasiti pemasangan, pengukuhan pembekal tempatan serta penempatan tenaga kerja Malaysia di barisan hadapan pembuatan automotif berteknologi maju,” katanya.
Beliau berkata projek itu juga selari dengan Dasar Automotif Nasional dan aspirasi di bawah NIMP 2030 dalam memperkukuh penyetempatan dan rantaian industri negara.
Pelancaran Fasa 2 hari ini turut disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bersama barisan EXCO negeri, agensi persekutuan dan negeri, pemain industri serta rakan OEM.
EPMB menjangkakan peluasan operasi pemasangan di Melaka akan menghasilkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan baharu dan merancakkan pembangunan keupayaan EEV, EV, automasi dan pembuatan lanjutan, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan automotif ke negeri itu.
Pada majlis sama, EPMB turut meraikan unit pertama GWM Wey G9-PHEV MPV yang keluar dari barisan pemasangannya.
Hamidon berkata model premium MPV itu mencerminkan peningkatan tahap teknikal syarikat dalam mengendalikan kenderaan yang lebih besar dan kompleks.
“Wey G9 menandakan kemasukan syarikat ke segmen MPV premium, membuktikan kemampuan kami dalam memasang kenderaan berteknologi tinggi dan berspesifikasi rumit,” katanya.
Pada Oktober 2025, EPMB dilantik SAIC Motor Malaysia sebagai pemasang kontrak bagi model terpilih MG, selepas sebelumnya dilantik sebagai pemasang kontrak bagi GWM dan BAIC bagi tempoh jangka panjang. - DagangNews.com
