liza25/11/2026 - 14:06 Kilang yang terletak dalam kawasan pembangunan perindustrian bersepadu seluas 1,100 hektar (2,718 ekar) itu kini melengkapkan pembinaan struktur utamanya menerusi majlis ‘topping-out’ yang diadakan hari ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – EPG Modular Data Center menyasarkan penyediaan lebih 800 peluang pekerjaan profesional dan teknikal menerusi pembangunan kilang pembuatan pusat data modular bernilai kira-kira RM488 juta di Senai Airport City, Johor.
Kilang yang terletak dalam kawasan pembangunan perindustrian bersepadu seluas 1,100 hektar (2,718 ekar) itu kini melengkapkan pembinaan struktur utamanya menerusi majlis ‘topping-out’ yang diadakan hari ini.
Kemudahan berkenaan meliputi kawasan seluas 107,450 meter persegi, termasuk 70,000 meter persegi ruang pengeluaran dan dijadualkan siap pada suku pertama 2027.
Sebaik beroperasi sepenuhnya, kilang itu dijangka menjadi antara kemudahan pembuatan pusat data modular satu tapak terbesar dalam sektor berkenaan berdasarkan kapasiti pengeluaran.
Lima bangunan khusus untuk pengeluaran komponen pusat data
Menurut EPG, pelan induk kilang itu merangkumi lima bangunan yang dikhususkan untuk pengeluaran kepingan logam, produk unit pemindahan kuasa (PTU), pembuatan penjana diesel, pemasangan akhir serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pejabat.
Kemudahan itu akan menghasilkan struktur perlindungan pusat data modular (MDC shelters) serta peralatan sokongan termasuk set penjana diesel dan modul kuasa PTU. Kilang berkenaan direka untuk menyokong proses pembuatan fleksibel berasaskan teknologi digital dengan mengintegrasikan peralatan automasi canggih, sistem kawalan pintar dan teknologi kimpalan automatik.
Barisan pengeluarannya dijangka mencapai kadar automasi sekurang-kurangnya 80% meliputi proses pra rawatan, pemotongan laser, kimpalan robotik dan salutan bebas habuk. Reka bentuk barisan pengeluaran modular itu juga membolehkan kilang berkenaan mengendalikan pelbagai jenis produk dan spesifikasi mengikut keperluan pelanggan.
Integrasi teknologi digital dalam proses pengeluaran
Dalam pada itu, EPG akan mengintegrasikan beberapa platform digital bagi menghubungkan proses pengurusan rantaian bekalan, R&D, pengeluaran, kawalan kualiti dan penyimpanan barangan. Platform berkenaan merangkumi sistem pengurusan hubungan pembekal (SRM), pengurusan kitaran hayat produk (PLM), pelaksanaan pembuatan (MES), pengurusan kualiti (QMS) serta pengurusan gudang (WMS).
Teknologi ‘digital twin’ turut digunakan bagi menyokong pemantauan dan kebolehkesanan pengeluaran, manakala sistem pengesanan pintar serta amaran masa nyata akan membantu meningkatkan keselamatan tempat kerja dan peralatan.
Menurut syarikat itu, penyatuan pengeluaran struktur perlindungan pusat data modular dan peralatan kuasa kritikal di Malaysia membolehkannya meningkatkan penyelarasan pengeluaran serta pemasangan, selain memberi tindak balas lebih fleksibel terhadap jadual projek pelanggan serantau.
Pengasas dan Pengerusi EPG, Alick Wan berkata, kilang berkenaan merupakan langkah penting dalam mendekatkan keupayaan pembuatan syarikat dengan pelanggan serta pasaran yang dilayaninya.
Beliau berkata, gabungan keupayaan pembuatan canggih dan kerjasama erat dengan rakan tempatan akan membolehkan EPG membangunkan pangkalan operasi yang lebih responsif di Malaysia.
Buka peluang kepada pembekal dan tenaga kerja tempatan
Dalam usaha memperluas penglibatan industri tempatan, EPG turut merancang meningkatkan kerjasama dengan pembekal Malaysia serta memperbesar penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalannya.
Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti termasuk struktur keluli, infrastruktur elektrik, sistem mekanikal, kabel, peralatan dan perkhidmatan profesional berkaitan. Syarikat itu juga merancang bekerjasama dengan universiti, institusi teknikal dan organisasi latihan di Malaysia bagi menyediakan pendedahan industri, latihan teknikal serta peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.
Inisiatif berkenaan merangkumi pembangunan kemahiran dalam bidang fabrikasi logam, kimpalan, sistem elektrik, pemasangan peralatan, pengurusan kualiti dan pengujian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City, Gan Seng Keong berkata, pelaburan RM488 juta oleh EPG merupakan tambahan penting kepada ekosistem pembuatan pusat data yang semakin berkembang di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pembangunan itu turut mengukuhkan kedudukan Senai Airport City sebagai destinasi bagi sektor pembuatan bernilai tinggi dan industri berkaitan pusat data.
Pada masa sama, EPG berkata kilang berkenaan akan beroperasi mengikut undang-undang dan peraturan Malaysia serta keperluan pengurusan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat, termasuk aspek kecekapan sumber, pengurangan sisa, perlindungan alam sekitar dan keselamatan pekerja. - DagangNews.com



