
BEAUFORT: Kawasan Lumadan disasarkan menjadi hab pengeluaran produk hiliran berasaskan makanan laut menerusi cadangan pembinaan kilang pemprosesan makanan laut yang dijangka dilaksanakan tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata usaha itu bertujuan meningkatkan nilai tambah hasil tangkapan nelayan selain membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat khususnya golongan wanita dan suri rumah.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata Beaufort mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri berkenaan berikutan kawasan itu serta daerah berhampiran seperti Sipitang dan Kuala Penyu mempunyai ramai pengusaha dan pengeluar hasil laut.
Katanya, kewujudan kilang pemprosesan itu kelak dapat menyediakan platform kepada masyarakat untuk menghasilkan pelbagai produk makanan berasaskan ikan dan udang, sekali gus menjana pendapatan tambahan.
“Kita melihat potensi di Beaufort ini sangat besar kerana mempunyai banyak pengeluar ikan dan udang termasuk di Sipitang dan Kuala Penyu.
“Justeru kita sasarkan pembinaan sebuah kilang pemprosesan makanan laut tahun depan supaya industri produk hiliran dapat diwujudkan di Beaufort bagi memberikan nilai tambah kepada hasil tangkapan nelayan, selain membuka peluang kepada suri rumah menghasilkan produk inovatif daripada sumber ini.
Pada masa sama, inisiatif ini dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Kursus Penternakan Udang Galah dan Penghasilan Popiah Otak-Otak Ikan, di sini, pada 18 November.
Seramai 200 peserta menyertai kedua-dua kursus anjuran Jabatan Perikanan Sabah dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta Pejabat Adun Lumadan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan berkata pihaknya turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa aktiviti penternakan udang galah menerusi pembangunan kolam ternakan yang akan diusahakan oleh peserta kursus.
Katanya, sekurang-kurangnya seorang peserta disasarkan memulakan projek kolam penternakan udang galah tahun depan sebagai langkah permulaan untuk mengembangkan industri itu di kawasan Lumadan.
Menurutnya, Beaufort mempunyai kawasan strategik dan sumber sungai yang sesuai untuk aktiviti berkenaan, termasuk di sekitar Sungai Padas, Sungai Westin Lubok, Sungai Mentulut, Padas Damit, Bintuka, Naparan, Pawa, Klias dan Sinapukan.
“Pada peringkat awal, kita mahu melihat sekurang-kurangnya seorang peserta memulakan usaha membina kolam udang galah di kawasan Lumadan.
“Sekiranya ada minat, kesediaan dan kemampuan dalam kalangan peserta, kita amat mengalu-alukan sekiranya lebih ramai penduduk mempunyai kolam penternakan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu penting berikutan bekalan udang galah yang semakin berkurangan ketika ini menyebabkan harganya meningkat di pasaran.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat perlu diberikan pendedahan dan bimbingan mengenai kaedah penternakan udang galah bagi meningkatkan pengeluaran tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil tangkapan sungai.




