Epicon raih kontrak RM130.9 juta bagi kerja pasang kabel bawah tanah
diyana
02/10/2023 - 18:24
KUALA LUMPUR 2 Okt - Epicon Berhad, dahulunya Konsortium Transnasional Berhad, telah menerima kontrak RM130.9 juta untuk kerja pemasangan, ujian dan pentauliahan kabel bawah tanah bagi tempoh 12 bulan atau setahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Epicon berkata anak syarikatnya, Transnational Builder Sdn. Bhd. (TBSB) telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (ISESB) sebagai subkontrak melibatkan tiga projek kabel bawah tanah di Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kumpulan itu berkata kontrak tersebut akan bermula dari 3 Oktober 2023 hingga 2 Oktober 2024, dengan pilihan untuk memperbaharui kontrak bagi tempoh 12 bulan lagi, tertakluk kepada persetujuan bersama oleh TBSB dan ISESB secara bertulis.
“Syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko material daripada surat anugerah selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan surat anugerah dan risiko perniagaan dalam industri yang mana syarikat akan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkannya.
“Surat anugerah dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan juga aset bersih syarikat dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan seterusnya,” katanya.
Saham Epicon ditutup rendah 5 sen atau 2.2% pada 22.5 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM133.8 juta. - DagangNews.com




