
LONDON – Selepas dilabelkan sebagai antara pasukan yang memiliki jentera serangan terbaik, Chelsea kini menggalas misi baharu menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton di Stadium Hill Dickinson malam ini.
The Blues tekad untuk memastikan pintu gol mereka tidak dibolosi ketika bertemu Everton memandangkan Chelsea sudah pun melepaskan 13 gol dalam enam perlawanan Liga Perdana setakat ini.
Penyerang Chelsea, Joao Pedro berkata, dia dan rakan sepasukan sudah pun memperbaiki kelemahan yang ada sebaik sahaja saingan liga kembali bersambung minggu lalu sehingga berjaya membelasah Bournemouth 5-1.
Bagaimanapun, ia masih belum dapat memuaskan hati pengurus, Xabi Alonso yang mengharapkan skuad kendaliannya dapat mempamerkan aksi lebih baik bagi mengekang asakan jentera serangan pasukan lawan.
“Kami bermain sangat baik ketika bertemu Bournemouth selepas kembali daripada rehat antarabangsa. Sepanjang tempoh itu, kami bekerja keras dan memperbaiki setiap kekurangan yang ada dalam pasukan.
“Sudah tentu kami mahukan kemenangan tanpa melepaskan sebarang gol tetapi ia belum berhasil. Saya harap kami boleh melakukannya pada perlawanan akan datang (menentang Everton),” kata Pedro.
Terdahulu, Alonso turut menaruh sepenuh kepercayaan terhadap anak-anak buahnya untuk memperbaiki kerapuhan benteng pertahanan dan mula mencatat kemenangan dengan aksi tanpa bolos.
“Saya yakin ia (tanpa bolos) akan tiba. Ketika bertemu Bournemouth, kami hampir dapat melakukannya, namun kurang bernasib baik apabila menghadiahkan satu gol kepada lawan,” ujarnya. – AGENSI
The post EPL: Chelsea tidak rela pintu gol bocor lagi appeared first on Kosmo Online.
