
LONDON – Erling Haaland terus membuktikan ketajamannya sebagai peledak berbisa apabila meledak gol tunggal perlawanan untuk membantu Manchester City mengekalkan rekod sempurna dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Coventry 1-0, kelmarin.
Kemenangan itu memberikan permulaan positif buat pengurus baharu, Enzo Maresca yang kini menggalas tanggungjawab besar di Etihad selepas pemergian penuh emosi pengendali legenda, Pep Guardiola.
Haaland menjaringkan gol ketiganya musim ini pada minit ke-26 menerusi tandukan padu hasil hantaran lintang Antoine Semenyo, selepas menerima umpanan daripada pemain tengah baharu, Enzo Fernandez.
Fernandez, yang menyertai City pada hari terakhir jendela perpindahan dengan nilai rekod £125 juta (RM682 juta), segera membuktikan kualitinya apabila diletakkan dalam kesebelasan utama susulan kecederaan Nico O’Reilly ketika sesi pemanas badan.
Pemain tengah itu diturunkan dalam kesebelasan utama selepas Nico O’Reilly mengalami kecederaan ketika pemanas badan, manakala Iliman Ndiaye turut membuat penampilan sulung bersama City.
“Dalam perlawanan seperti ini, sembilan daripada 10 kali anda mencuba akhirnya akan berjaya.
“Tetapi cara kami bertahan bersama sehingga tamat, termasuk ketika situasi lontaran ke dalam dan bola mati, sangat baik. Tidak semua kemenangan akan hadir dengan cara yang indah,” kata Maresca.
Maresca kini mengendalikan skuad yang mengalami perubahan besar selepas beberapa tonggak utama meninggalkan kelab termasuk Rodri, Bernardo Silva dan John Stones.
Selain Fernandez dan Ndiaye, Elliot Anderson serta pemain muda Maghribi, Ayyoub Bouaddi turut diturunkan ketika City mula membentuk wajah baharu di bawah Maresca.
City kini mengintai peluang merampas semula kejuaraan EPL selepas terlepas trofi dalam dua musim lalu kepada Liverpool dan Arsenal, dengan Haaland menjadi antara sandaran utama untuk merealisasikan misi tersebut. – AGENSI
The post EPL: Haaland teruskan rentak sempurna City appeared first on Kosmo Digital.




