
MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Michael Carrick memuji semangat juang serta kekuatan mental barisan pemainnya ketika bangkit membelasah Ipswich Town 5-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam kelmarin.
Paling mencuri tumpuan adalah pemain tengah, Bruno Fernandes yang berjaya meledak hatrik buat United, manakala dua lagi gol hadir menerusi jaringan Bryan Mbeumo dan gol sendiri Jacob Greaves.
Carrick berkata, perkara yang paling menggembirakan beliau pada perlawanan itu adalah kemampuan pemain-pemain United untuk mengekalkan fokus melakukan kebangkitan selepas ketinggalan 0-1.
“Perkara paling penting hari ini (kelmarin) yang membuatkan saya gembira adalah bagaimana kami berdepan kesukaran. Kami amat memerlukan karakter seperti ini jika mahu menjadi satu pasukan berjaya.
“Sebelum perlawanan bermula, kami sudah bercakap mengenai perkara ini kerana kami tewas minggu lalu. Keyakinan, semangat kental serta kerjasama semua pemain membantu kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menganggap Kobbie Mainoo adalah tunjang United di bahagian tengah pada perlawanan tersebut biarpun perhatian lebih diberikan kepada Fernandes yang menjaringkan tiga gol.
“Saya faham Bruno (Fernandes) menerima banyak pujian dan memang layak, tetapi saya lebih tertarik kepada Kobbie (Mainoo) yang beraksi cukup cemerlang mengawal bahagian tengah padang,” ujar Carrick. – AGENSI
The post EPL: Kekuatan mental bantu kebangkitan appeared first on Kosmo Digital.



