
LIVERPOOL – Liverpool dilaporkan bersedia menghentikan usaha mendapatkan Bradley Barcola selepas gagal mencapai kata sepakat dengan Paris Saint-Germain (PSG), situasi yang berpotensi membuka laluan kepada Arsenal memburu pemain sayap Perancis itu.
The Reds menjadikan Barcola sebagai sasaran utama bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mohamed Salah yang menyertai Trabzonspor secara percuma minggu lalu, namun tanda harga sekitar £145 juta (RM800.89 juta) ditetapkan PSG menjadi penghalang utama.
Liverpool dikatakan enggan memenuhi tuntutan tersebut, manakala PSG pula tidak bercadang menurunkan harga meskipun Barcola terbuka untuk berhijrah bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Dengan jendela perpindahan berbaki kira-kira tiga minggu lagi, Liverpool kini bersedia beralih kepada pilihan lain bagi memperkuatkan skuad kendalian Andoni Iraola, termasuk seorang lagi pemain PSG, Ibrahim Mbaye yang baru berusia 18 tahun.
Keputusan Liverpool itu dijangka menarik perhatian Arsenal yang masih memburu satu lagi pembelian berprofil tinggi selepas gagal mendapatkan Vinicius Junior susulan keputusan bintang Brazil itu menandatangani kontrak baharu bersama Real Madrid.
The Gunners dilaporkan turut berminat terhadap Barcola dan sedang memantau perkembangan rundingan tersebut meskipun sudah mendapatkan Christos Tzolis bagi memperkuatkan bahagian sayap kiri.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sebelum ini memberi bayangan bahawa kelab London tersebut masih belum selesai dalam pasaran perpindahan sekiranya menemui pemain yang mampu meningkatkan kualiti pasukan.
“Itulah yang kami cuba lakukan. Jika ada pemain yang tepat di pasaran dan mampu menjadikan kami jauh lebih baik, sudah tentu kami sangat mengalu-alukan peluang itu,” katanya. – AGENSI
The post EPL: Liverpool tarik diri dapatkan Barcola appeared first on Kosmo Digital.


