
MANCHESTER – Nasib Manchester City bagaikan terumbang-ambing apabila tidak pasti mengenai bentuk hukuman yang bakal diterima selepas didapati bersalah melanggar 114 daripada 115 pertuduhan pertuduhan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Antara kemungkinan hukuman yang dilaporkan termasuk denda, pemotongan mata atau tindakan lebih berat seperti penyingkiran daripada EPL dalam masa terdekat.
Bekas penasihat kewangan City, Stefan Borson berkata, segala kemungkinan kini terbuka selepas panel bebas membuat keputusan terhadap kes berprofil tinggi yang berlarutan sejak pertuduhan dikemukakan EPL pada 2023.
“Segalanya boleh terjadi dan keadaan akan menjadi sangat kecoh untuk beberapa minggu akan datang. Sangat sukar untuk City pertahankan diri atau mengawal kesan daripada situasi ini tanpa kita dapat melihat kandungan keputusan tersebut sepenuhnya,” katanya.
Borson yang pernah menjadi penasihat kepada City antara 2002 hingga 2007 memberi gambaran bahawa proses selepas keputusan tersebut didedahkan bakal menjadi sangat panjang dan penuh perhatian.
Lebih malang, Borson percaya City kini berada dalam kedudukan serius selepas kelab berkenaan berulang kali menafikan semua pertuduhan sehingga rayuan yang bakal dibuat juga tidak akan berjaya
“Kita hampir pasti melihat keputusan suruhanjaya bebas itu diperincikan. Ia akan memberikan banyak bahan kepada pihak yang mahu mengkritik individu serta kelab.
“Sebelum ini City menafikan segala-galanya sepanjang proses ini. Mereka berada dalam masalah yang sangat serius.
“Saya risau, jika mereka buat rayuan berdasarkan fakta sekalipun tidak akan mengubah keputusan ini,” katanya.
Setakat ini, pengurusan City masih belum mengeluarkan kenyataan secara rasmi, tetapi sumber kepada kelab itu percaya proses hukuman EPL masih belum selesai dan beberapa perkara penting masih perlu dimuktamadkan. – AGENSI
The post EPL: Man. City berdepan padah besar appeared first on Kosmo Online.




