
MANCHESTER – Percaturan Michael Carrick merehatkan kapten, Bruno Fernandes memakan diri apabila Manchester United tewas 0-3 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, sebentar tadi.
Keputusan Carrick menggugurkan beberapa tonggak utama termasuk Fernandes, Matthijs de Ligt, Noussair Mazraoui dan Matheus Cunha daripada kesebelasan utama nyata tidak membuahkan hasil apabila United bergelut mengekang asakan pelawat.
Bournemouth menghukum kelemahan tuan rumah menerusi tiga jaringan yang menyaksikan penyokong United sekali lagi hampa dengan kekalahan ketiga musim ini.
Rayan membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi penyudah kemas hasil sepakan percuma Justin Kluivert, sebelum Marcus Tavernier menggandakan kelebihan lima minit kemudian.
Kesilapan Leny Yoro menjadi punca jaringan kedua apabila Adrien Truffert pantas merebut peluang sebelum melorongkan bola kepada Tavernier untuk menyudahkan peluang di depan gawang.
Bersambung pada babak kedua, The Red Devils terus dihukum pada minit ke-71 apabila Evanilson menewaskan penjaga gol Senne Lammens menerusi rembatan cantik dari sudut sukar untuk melengkapkan kemenangan 3-0 Bournemouth.
Kekalahan itu pastinya meningkatkan tekanan terhadap Carrick untuk menilai semula percaturannya, terutama apabila keputusan merehatkan pemain penting tidak mampu menghalang United daripada terus tersungkur di laman sendiri.
United kini menduduki tangga ke-16 carta EPL dengan tujuh mata manakala Bournemouth melonjak di kedudukan ke-13 dengan sembilan mata. – AGENSI
The post EPL: Man. United tewas lagi, nasib Carrick di hujung tanduk? appeared first on Kosmo Online.

