
MANCHESTER – Selepas mengalami kekalahan 0-2 kepada Hull City pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu lalu, Manchester United tekad melakukan kebangkitan menjelang pertemuan menentang Ipswich Town hujung minggu ini.
Kapten The Red Devils, Bruno Fernandes berkata, dia dan rakan sepasukan patut memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri bagi menewaskan Ipswich, sekali gus menebus kekalahan kepada Hull.
Pemain Portugal itu menggesa rakan sepasukan supaya memperbaiki setiap kelemahan yang ada ketika bertemu Hull sebelum ini bagi memastikan mereka tidak berdepan kejutan kedua apabila melayan kunjungan Ipswich.
“Apa yang pasti, aksi sulung di laman sendiri musim ini akan menjadi satu perlawanan cukup penting untuk kami, lebih-lebih lagi selepas tewas kepada Hull. Kami amat memerlukan tiga mata tersebut.
“Kami juga perlu bekerja keras bagi memperbaiki segala kekurangan yang dalam pasukan. Kami perlu bersedia sepenuhnya dan melakukan persiapan terbaik bagi menebus kekalahan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fernandes juga menganggap kekalahan kepada Hull merupakan satu petanda bahawa mereka perlu berwaspada dengan pasukan pendatang baharu, termasuk Ipswich yang kembali ke Liga Perdana.
“Kami tahu setiap perlawanan Liga Perdana sangat sukar, tidak kira pasukan itu baru naik pangkat ataupun tidak. Kami juga perlu berwaspada dengan setiap set-pieces pasukan lawan ketika situasi bola mati,” ujarnya. – AGENSI
The post EPL: Man. United tidak ada pilihan appeared first on Kosmo Digital.




